‘Red Flag, air liur boleh jatuh atas makanan’ – PHM tegur peniaga sibuk bercakap masa berniaga

Oleh MAISARAH AISYA

Kini, semakin ramai penjual makanan dilihat terlalu tertumpu menghasilkan siaran langsung ketika berniaga sehingga mengabaikan aspek kebersihan yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Tumpuan untuk mencipta kandungan dan berinteraksi dengan penonton adakalanya menyebabkan pengendali makanan kurang peka terhadap amalan keselamatan asas.

Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap amalan kebersihan pengendali makanan, khususnya dalam kandungan siaran langsung atau video memasak di media sosial.

Menurut PHM, tindakan memasak sambil bercakap kuat, tidak memakai pelitup muka atau menghadap makanan sehingga menghasilkan titisan air liur dianggap sebagai satu ‘red flag’ dan boleh menyebabkan pencemaran makanan.

PHM menjelaskan bahawa titisan halus daripada mulut dan hidung berpotensi membawa kuman yang boleh mencemarkan makanan terdedah, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit.

Ini menyebabkan isu berkenaan bukan sekadar perkara sensitif, sebaliknya melibatkan aspek keselamatan makanan yang serius.

Menurut PHM, perkara itu selaras dengan bahan pendidikan keselamatan makanan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang menegaskan pengendali makanan tidak dibenarkan batuk, bersin atau meludah di kawasan penyediaan makanan.

Peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut menetapkan bahawa pengendali makanan wajib mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan makanan, termasuk menggunakan hembusan nafas untuk membuka pembungkus atau beg makanan.

Sehubungan itu, PHM menyarankan pengguna agar menilai tahap kebersihan sebelum membeli makanan.

Antaranya memastikan makanan ditutup dan tidak terdedah terlalu lama, pengendali tidak bercakap atau menghembus ke arah makanan, serta menggunakan peralatan seperti penyepit atau senduk dan bukannya tangan.

Pengguna juga dinasihatkan supaya mengelakkan pembelian jika mendapati tahap kebersihan teruk dan berulang, selain membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan atau pejabat kesihatan kawasan.

PHM turut mengingatkan bahawa walaupun keperluan makanan adalah penting, pengguna tidak seharusnya berkompromi dengan kebersihan kerana ia boleh mengundang risiko kesihatan.

Jelas PHM, kuasa pengguna melalui pilihan pembelian turut memainkan peranan dalam menyokong amalan kebersihan makanan yang lebih baik.

Baca juga: Siapa salah dalam isu treler langgar 3 kereta di R&R Ayer Keroh? Ini ulasan peguam