Siapa sangka, seorang remaja tergamak meninggikan suara terhadap ibunya sendiri di hadapan khalayak ramai hanya kerana gagal mendapatkan ‘MC’ atau sijil cuti sakit.
Itulah antara kejadian disaksikan oleh petugas perubatan bergelar doktor yang membuat perkongsian mengenai insiden tersebut di akaun Facebook miliknya sebagai satu bentuk pengajaran.
Menurut petugas perubatan dikenali sebagai Dr Kamarul Ariffin itu, kejadian berlaku selepas seorang remaja yang berusia 13 tahun mendatangi bilik konsultasinya bersama ibunya.
Dedah Dr Kamarul, remaja terbabit sudah mula bersikap dingin sejak mula masuk ke bilik konsultasi apabila setiap pertanyaannya langsung tidak dijawab sehingga ditegur oleh ibunya.
“Pandangan gadis berumur 13 tahun itu masih tertumpu pada skrin telefon yang berwarna keemasan di tangannya. Sesekali tersenyum, dan seraya menaip sesuatu. Setelah itu, masih juga tiada jawapan.
“Hingga si emak menegur, ‘Adik! Doktor sudah tanya itu, jawablah’. ‘Senggugut!’, ujar remaja itu sambil membalas mesej di WhatsApp. Pandangannya sedikit pun tidak lekang daripada skrin gadget.
“Saya tanya lagi, ‘Hari ni hari ke berapa?’. Tetapi sekali lagi soalanku dibiarkan tidak berjawab. Nampaknya perbualan di WhatsApp itu lebih penting daripada perbualan antara saya dengan beliau,” kesalnya.
Dr Kamarul akhirnya bertindak menegur remaja terbabit sebelum mengambil telefon bimbit milik pesakitnya dan diserahkan kepada ibunya untuk melancarkan urusan pemeriksaan dan rawatan.
Jelasnya, pemeriksaan terhadap remaja terbabit terpaksa diteruskan tanpa sebarang pembicaraan kerana khuatir tidak dapat lagi menahan dirinya daripada meledakkan kemarahan di atas sikap pesakitnya itu.
“Silap kita juga. Kalau ibu bapa lebih rapat dengan telefon pintar daripada anak-anak, inilah hasilnya. Generasi yang bertamadun tinggi tetapi mundur peradaban. Kemudian di emak memohon, ‘Doktor, ampunkan anak saya’.
“Lalu mengetap bibir dan meninggalkan bilik konsultasi sambil menundukkan pandangannya ke lantai. Saya dapat rasakan kekesalan dan kehampaan beliau melalui nada dan ketar suaranya.
“Gadis itu yang perlu menagih keampunan dari emaknya. Tiba-tiba, kedengaran pekikan suara budak tadi di kaunter hadapan. ‘MAK! KENAPA TAK MINTAKKAN MC! ORANG KAN TAK PERGI SEKOLAH TADI! ISH’,” kongsinya.
Selepas mendengar pekikan tersebut, Dr Kamarul segera mengeluarkan sijil sakit bukan kerana remeja berkenaan layak mendapatnya namun tidak sampai hati melihat rayuan ibunya.
Mencuri perhatian ramai, perkongsian yang dimuat naik oleh petugas perubatan tersebut sudah meraih 3,700 tanda suka dengan rata-rata pengguna merasa geram dengan sikap remaja berkenaan.
“Ya Allah. Ampunkan dosa-dosa kami, dosa-dosa mereka yang sebelum kami dan juga yang bakal menggantikan kami. Ubahlah. Ubahlah. Ubahlah.” Ujar Dr Kamarul dalam perkongsian tersebut.
Baca juga: Pak Mat Western belanja 1,000 murid, rupanya ini puncanya…