Zhiddin Aziz ‘bedah’ nama restoran Khairul Aming, dedah makna sebenar Rembayung?

Oleh WAN SITI AMINAH

Restoran milik usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming iaitu Rembayung sering dijadikan topik perbincangan hangat di sosial media meskipun premis tersebut belum rasmi dibuka.

Selepas perbincangan masalah tempat letak kereta buat pelanggan, kini timbul pula isu baharu iaitu pilihan nama restoran dibangunkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang bakal beroperasi pada tahun hadapan itu.

Hal ini berikutan ramai pengguna media sosial bertindak membuat carian sendiri secara atas talian dan mendapati bahawa istilah Rembayung iaitu nama restoran Khairul Aming itu tidak wujud dalam kamus rasmi tempatan.

Isu ini menarik perhatian pempengaruh dan pengacara, Zhiddin Aziz yang tampil mengulas makna sebenar istilah digunakan sebagai nama restoran tersebut menerusi satu perkongsian video dimuat naik di platform TikTok.

Zhiddin yang merupakan graduan penulisan kreatif dan filem dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu berpendapat bahawa Rembayung adalah inspirasi daripada suasana senja di restoran berkenaan.

“Sebelum Khairul Aming buka kedai lagi, ramai orang kita salah faham. Mereka fikir langit yang pada waktu senja itu warnanya lembayung padahal bukan. Langit waktu senja itu namanya layung. Rembayung dan lembayung tak sama. Dua rangkai kata yang jauh berbeza.

“Bagaikan langit dan bumi dari segi takrifan namanya. Lembayung itu waktu matahari nak tenggelam, timbul warna langit ungu. Senja yang biasa kita tengok itu bukan lembayung, mana datangnya Malaysia senja langit warna ungu? Malaysia ini tropikal tebal dan kelembapan tinggi.

“Mana nak datang lembayung? Manakala layung itu pula cahaya senja keemasan, jingga atau kemerahan. Inilah warna yang ada pada papan tanda kedai Khairul Aming itu. Rembayung pula adalah bayang yang timbul daripada cahaya warna layung,” jelasnya.

Dalam perkongsian yang sama, Zhiddin tidak menafikan bahawa istilah Rembayung tidak wujud dalam pencarian di Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka memandangkan nama restoran itu menggunakan imbuhan bahasa klasik.

Pempengaruh terbabit juga memaklumkan bahawa isu nama restoran sepatutnya tidak dijadikan masalah besar memandangkan Khairul Aming sebagai pemilik memiliki hak menamakan premis itu mengikut kemahuannya.

“Khairul Aming nak letak nama mak buyung pun tiada masalah sebab di situ ada lesen artistik bahasa. Saya perasan ramai yang tanya kenapa tak guna lembayung? Cuba tengok papan tanda, warnanya keemasan. Manakala lembayung pula berwarna ungu.

“Memanglah (Rembayung) tiada (dalam kamus) sebab anda cari sekali dengan imbuhan ‘rem’. Sedangkan ‘rem’ itu imbuhan klasik dalam Bahasa Melayu lama yang menandakan perluasan makna, penguat citra dan tambahkan rasa.

“Macam bulan, kita dengar perkataannya berbunyi keras dan tiada roh. Tetapi apabila ditambahkan imbuhan ‘rem’, terus kita dapat bayangkan bulan yang terang-benderang, berseri dan mengembang di langit malam. Sekarang tak guna. Tetapi dalam karya sastera lama banyak.” Ujarnya.

Baca juga: Setahun berahsia, Khairul Aming dedah restoran RM4 juta siap dibina