Individu dakwa berjaya tempah 7 tempat duduk di Rembayung, nak jual RM150 setiap satu?

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh, Khairul Aming secara rasminya membuka tempahan restoran miliknya iaitu Rembayung untuk sesi pertama malam tadi dengan 3,000 tempat duduk berjaya ditempah secara atas talian.

Pembukaan sesi tempahan tersebut mendapat sambutan begitu hangat daripada peminat sehinggakan laman web restoran berkenaan mengalami gangguan atau ‘crashed’ akibat trafik yang terlalu tinggi.

Namun di tengah kekecohan tersebut, seorang individu mendakwa berjaya membuat tujuh tempahan tempat duduk di hari pembukaan rasmi restoran yang terletak di Kampung Baru itu pada 6 Januari atau esok.

Walau bagaimanapun, perkara yang mengejutkan adalah individu berkenaan konon mahu menjual semula tempat duduk ditempahnya itu dengan harga RM150 setiap satu seperti dikongsikan di media sosial miliknya.

“Nak jual tempat duduk di Rembayung pada 6 Januari ini. Jam 9 malam, ada tujuh tempat duduk. Satu tempat duduk harga RM150. Kalau berminat, komen sekarang,” kata individu terbabit di platform Facebook.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lagi sama ada individu terbabit benar-benar mahu menjual tempahan tempat duduknya di restoran berkenaan ataupun hanya sekadar ingin berseloroh.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Facebook terkejut dengan tindakan individu berkenaan mencari duit dengan menjual semula tempahan sekiranya tawaran tersebut serius.

Harga yang dikenakan juga terlalu tinggi memandangkan Khairul Aming hanya mengenakan deposit sebanyak RM10 untuk setiap tempahan malah wang tersebut juga akan dipulangkan semula melalui potongan resit.

“Kau ni pun, agak-agaklah. Deposit tempahan RM10 sahaja. Kau nak ‘scalp’ sampai RM150. Gila duit ke? Ke nak cari duit belanja kehidupan?,” kesal seorang pengguna di ruangan komen perkongsian itu.

“Betul-betul ke dugaan ini? Jangan main-main hal Khairul Aming. Saya buat laporan nanti.” Kongsi pengguna lain dalam nada berseloroh mengandaikan bahawa hantaran individu terbabit hanya sekadar gurauan.

Hantaran tersebut turut dikongsikan semula di ruangan komen akaun media sosial Threads milik Khairul Aming yang mana para peminat berharap tawaran ‘scalper’ atau ulat tiket sedemikian tidak dilayan orang ramai.

Baca juga: ‘UMAI’ teruk kena marah semalam gara-gara Rembayung