Rendang punya pasal, akhirnya mat rempit serah diri selepas 6 jam bersembunyi

Oleh WAN SITI AMINAH

Selepas enam jam bersembunyi di dalam kebun kelapa sawit, akhirnya sekumpulan mat rempit keluar menyerah diri kepada pihak polis.

Mencuit hati, mat rempit berkenaan mengakui tidak mampu lagi menahan kelaparan dan mahu menyantap juadah Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, mereka yang terlibat ditahan selepas menyerah diri di Kilometer 7, Jalan Kulai-Kota Tinggi,

Menurutnya, mereka mula memasuki kawasan kebun sawit itu pada jam 3 pagi untuk melarikan diri sebelum keluar semula pada jam 9 pagi.

Kesemua penunggang motor yang terlibat dikatakan gagal menjumpai jalan tikus kerana telah dikepung pihak polis dari awal.

“Kebanyakan penunggang motosikal terbabit bertindak sembunyi ke dalam kawasan kebun sawit sekitar pukul 3 pagi.

“Akhirnya pada pukul 9 pagi, satu persatu ‘mat motosikal’ itu menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu untuk melarikan diri.

“Mereka berkata tidak tahan dengan keadaan dalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan lapar dan rindu juadah hari raya pertama,” katanya.

Dalam operasi yang bermula pukul 11 malam, Jumaat sehingga 5 petang Sabtu itu, sebanyak 140 saman dikeluarkan.

Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, ubah suai ekzos, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain.

Baca juga: Pengawal keselamatan boleh main piano, ada ijazah rupanya dalam…