Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berpendapat, Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) tidak akan berjaya dilaksanakan seperti rancangan-rancangan Malaysia sebelum ini, jika kerajaan tidak menjalankan proses mengkaji punca kegagalan RMK terdahulu.
Beliau berkata, hanya dengan memahami punca dan sebab kegagalan, kerajaan dapat mengubah serta memperhalusi dasar-dasar untuk menyempurnakan penyampaian dan menjayakan RMK-12.
“Apakah faktor yang akan menjamin kejayaan RMK-12 berbanding dengan RMK sebekum ini yang telah gagal mencapai matlamat sama? Apakah polisi spesifik yang akan dilaksanakan yang berbeza dengan tahun-tahun lalu?
“Sekurang-kurangnya kerajaan mesti mengkaji punca dan sebab-sebab utama RMK sebelum ini yang telah gagal dalam misi mereka.
“Kalau kita tak tanya (faktor kegagalan), tak jawab mengapa RMK yang dulu tidak dapat mencapai matlamat, maka RMK-12 akan gagal seperti RMK lalu,” katanya dalam sesi perbahasan di sidang Dewan Rakyat petang ini.
Pada masa sama beliau berkata, malang aoabila dasar spesifik langsung tidak disertakan dalam buku RMK-12.
Oleh itu beliau membuat kesimpulan, walaupun RMK-12 dipenuhi dengan banyak cadangan dasar umum yang murni dan wajar disokong, namun ia akan gagal mencapai matlamatnya seperti RMK lalu sebab banyak kementerian masih dipimpin oleh menteri-menteri yang menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka.