Rujuk isu bubar DUN ke mahkamah bukan mahu pertikai kuasa TYT, kata Adly

Oleh KIM SYAZIE

Pakatan Harapan Negeri Melaka menegaskan bahawa langkah membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 ke mahkamah bukanlah satu usaha untuk mempertikaikan kuasa Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, mereka maklum mengenai kuasa Yang Dipertua Negeri selaras dengan peruntukan Perkara 19 (2) Perlembangaan Negeri Melaka.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, tujuan membawa isu tersebut ke mahkamah adalah bagi memastikan pihak berkaitan dapat membuat semakan mengenai proses dan fakta yang ada.

“Ini termasuk mengambil kira representasi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam menentukan keputusan pembubaran DUN.

“Seperti kita semua sedia maklum, dalam keadaan sekarang, keputusan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan memberi risiko terhadap kesihatan rakyat.

“Manakala pengisytiharan darurat akan menyebabkan kuasa terhad kepada negeri, di samping memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan terbaru tengahari ini.

Justeru katanya, adalah diharapkan agar langkah yang diambil PH Melaka boleh membantu menstabilkan semula politik negeri tanpa perlu mengadakan PRN.