Runsing duit belanja sehari RM500, posting ‘humble brag’ wanita ini dapat jawapan sinis warganet

Oleh KIM SYAZIE

Posting seorang pengguna media sosial mengundang perbincangan hangat selepas berkongsi perbelanjaan hariannya yang mencecah RM500 sehari.

Individu itu bertanya kepada warga maya berapa jumlah belanja yang dihabiskan orang ramai dalam masa sehari, sambil mengatakan dia dan suami berbelanja sekitar RM500 setiap hari.

“Sehari ampa spent duit poket berapa? Saya dan suami RM500. Paling kurang RM400. Saya dah cuba untuk kurangkan tapi entahlah tak tahu dah nak buat macam mana. RM500 x 30 hari,” kata individu  itu.

Hantaran itu menerima banyak komen sinis daripada netizen yang percaya wanita itu sebenarnya ingin bermegah dengan kemewahan hidupnya.

Mereka tertanya gaya hidup wanita berkenaan sehingga mampu menghabiskan ratusan ringgit sehari.

Pada masa sama hantaran tersebut juga telah dikongsi secara terbuka di Facebook dan antara yang menegur ialah Cikgu Mohd Fadli Saleh yang menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk ‘humble bragging’.

‘Humble brag’ adalah satu perlakuan menunjuk kemewahan secara berselindung dengan nada merendah diri.

“Belanja RM500 sehari selama sebulan. Fuh, kasar tu. Makan kat hotel setiap hari kot noh,” tulisnya.

Menurutnya, jika seseorang itu diuji dengan kekurangan suatu hari nanti, barulah dia akan tahu bagaimana untuk berjimat dan hidup dalam keadaan serba sederhana.

“Bila satu masa Allah tarik rezeki kamu, duit belanja bulanan tinggal seribu je sebulan, masa tu akan pandai bagaimana nak survive dengan RM30 sehari,” katanya.

Baca juga: Pelanggan baru perasan ada katak dalam gelas lepas minum air, warna macam asam boi!