Rupanya ada faktor buat harga minyak naik selain bekalan, ini penjelasan PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Kekurangan bekalan bahan api bukanlah satu-satunya faktor yang mempengaruhi kenaikan harga minyak di Malaysia sebaliknya turut didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans perkapalan dan pengangkutan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, situasi keseluruhan berhubung isu bekalan minyak ini masih belum pulih sepenuhnya walaupun terdapat beberapa perkembangan sementara yang meredakan.

Hal ini kerana terdapat kos lain yang perlu ditanggung susulan kapal minyak dari Malaysia tersangkut di Selat Hormuz sebelum akhirnya dibenarkan untuk melalui laluan strategik berkenaan, lapor Buletin TV3.

Kos ini termasuk bayaran insurans yang sudah melepasi 100 peratus selain peningkatan caj pengangkutan dan penghantaran sehingga kapal sampai ke Pengerang, Johor sekali gus mengakibatkan kenaikan harga.

“Kos minyak yang naik ini, diambil sebelum perang. (Kapal) tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang (untuk) beralih ke Pengerang itu, kosnya meningkat kerana kos insurans yang melepasi 100 peratus.

“Kos pengangkutan sendiri, freight charges (caj penghantaran) juga bertambah. Maknanya minyak yang asalnya itu sepatutnya rendah untuk diproses di Pengerang, itu sudah meningkat kosnya,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Anwar ketika berucap dalam Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Anwar juga meluahkan kekesalan atas sikap segelintir ahli politik yang tidak turut membantu negara dalam mendepani krisis dengan menyampaikan fakta sebenar sebaliknya malah mengelirukan rakyat.

“Ada ulas-ulasan, ada yang digelar sebagai ulama dan sebagainya, dia memberikan pandangan begitu. Ada ulama terkenal yang ada banyak pengikutnya beri pandangan umpamanya dengan mengatakan, ‘Oh tak betul, minyak tak naik, di Malaysia sahaja naik.’

“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara, tetapi diselubungi oleh fahaman agama dan Al-Quran menyebabkan orang agak percaya. Namun dia tidak membantu, malah mengelirukan,” kesal Anwar yang juga bergelar Menteri Kewangan itu.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa situasi geopolitik semasa susulan konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat terus menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran, sekali gus mempengaruhi harga minyak dunia.

Sebubungan dengan itu, beliau berharap semua pihak memahami isu sebenar dan tidak menyebarkan tafsiran mengelirukan, sebaliknya membantu memberi penjelasan tepat kepada rakyat mengenai faktor sebenar kenaikan kos dan tekanan ekonomi semasa.

Baca juga: ‘Kenapa petrol, diesel tak turun walaupun minyak dunia turun?’, MOF jawabkan soalan popular rakyat Malaysia