Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menafikan dakwaan memberi sokongan kewangan kepada Roslizal Razali.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga menyangkal bahawa dirinya ada kaitan dengan individu yang ditahan atas Akta Hasutan tersebut.
Baru-baru ini, berlegar di media sosial dakwaan yang mengaitkan Saifuddin dengan Roslizal dan seorang lagi individu yang dikenali sebagai Datuk Arshad.
Saifuddin dikatakan memberi ‘bantuan kewangan’ kepada Roslizal melalui orang tengah iaitu Datuk Arshad.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memberi sokongan kewangan kepada individu-individu yang bernama Roslizal Razali atau Datuk Arshad,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga telah mengambil tindakan undang-undang bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.
Kenyataan itu dikongsikan Saifuddin menerusi satu hantaran di laman media sosial Twitter miliknya.
“Tujuan saya membuat laporan polis adalah bagi membersihkan nama saya dan memastikan prinsip keadilan ditegakkan.” Ciapnya.
Roslizal ditahan polis pada Rabu lalu kerana didakwa memuat naik kenyataan yang berunsur perkauman di media sosial.
Pelbagai dakwaan mula timbul apabila Roslizal yang bekerja sebagai pegawai keselamatan itu dikatakan tinggal di sebuah apartmen mewah di ibu kota.
Baca juga: Muat naik kenyataan berunsur perkauman, Roslizal Razali akhirnya ditahan polis