“Sape suruh hubby baik sangat”, wanita sedih ditinggal suami selepas 10 hari berkahwin

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita harus menerima takdir apabila suami yang dinikahinya selama 10 hari dijemput oleh Tuhan Yang maha Esa.

Sah menjadi suami isteri pada 3 Mac lalu, pasangan itu mendirikan rumah tangga setelah hampir dua tahun berkenalan.

Difahamkan, suami wanita yang dikenali sebagai Azie itu meninggal dunia pada 13 Mac lalu akibat kemalangan jalan raya.

Kepiluan hati wanita tersebut diluahkan dalam bentuk video yang dimuat naik di akaun media sosial TikTok miliknya, @aziermrn.

“Sape (Siapa) suruh hubby baik sangat. Kan Allah dah ambil hubby dari sayang,” tulis wanita itu di kapsyen yang besertakan gambar perkahwinan mereka.

Wanita yang berusia 22 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana diberi peluang untuk bergelar isteri walaupun hanya selama 10 hari.

Walaupun diberi dugaan di usia yang masih muda, Azie tetap redha menerima ketentuan Ilahi yang telah ditetapkan untuknya.

“Walaupun 10 hari je Allah pinjamkan suami untuk sayang, sayang gembira sangat. Suami rehat okay. Sayang tahu suami penat.

Al-Fatihah buat suamiku tercinta.” Tulis keterangan video yang telah mendapat lebih setengah juta tontonan dari pengguna TikTok.

Baca juga: “Makcik ni masa muda mesti jadi kegilaan lelaki” – Nenek umur 90 jadi perhatian warganet