“Saya dan pasukan bina perisai manusia”, TMJ kongsi detik insiden tembakan di Siam Paragon Mall

Oleh WAN SITI AMINAH

Dunia semalam dikejutkan dengan insiden tembakan di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, Thailand yang mengorbankan dua nyawa.

Rupa-rupanya ketika kejadian, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang berada di hotel berhampiran dengan lokasi insiden mendebarkan itu berlaku.

Berdepan dengan detik cemas, suasana menjadi panik apabila orang ramai yang datang dari pusat beli-belah itu menjerit dan masuk ke dalam hotel untuk berlindung.

Baginda yang ketika itu sedang berada di lobi hotel segera beredar ke tempat yang lebih selamat bersama keluarga, pegawai dan pasukan keselamatannya.

Demi memastikan keamanan keluarga, Tunku Ismail dan pasukan keselamatannya terpaksa membuat perisai manusia untuk melindungi mereka daripada marabahaya.

Perlu berjaga-jaga daripada sebarang kemungkinan, Tunku Ismail dan pasukannya hanya terdengar bunyi tembakan berdekatan tanpa menerima maklumat lanjut.

Tular di media sosial, detik cemas tersebut dikongsi baginda menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain.

“Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya. Fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

“Saya menyuruh mereka (keluarga) tunduk sementara menunggu kenderaan tiba. Saya dan pasukan keselamatan berdiri di hadapan keluarga, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku,” katanya.

Tunku Ismail kemudian memberi arahan agar pasukan keselamatannya membawa kereta ke ruang bawah tanah untuk membawa mereka ke tempat selamat iaitu Kedutaan Malaysia.

Pemandu Tunku Ismail bagaimanapun memaklumkan bahawa Kedutaan Singapura lebih dekat sebelum baginda bertindak menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.

“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta Menteri Pertahanan kita (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk memaklumkan apa yang berlaku.

“Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua.” Ulasnya.

Selepas kejadian kembali tenang dan selamat, baginda sekeluarga berangkat pulang ke Johor meskipun harus terlepas perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menyifatkan kejadian tersebut sebagai pengalaman terburuk, Tunku Ismail bersyukur keluarga dan pasukannya selamat dan anak-anaknya dilindungi daripada pembunuh.

Dalam pada itu, pemilik pasukan JDT itu turut mendoakan agar roh mereka yang terkorban dirahmati.

Baginda berada di Bangkok untuk menyaksikan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di mana JDT berjaya merakam kemenangan pertama Kumpulan I ke atas BG Pathum United 4-2, semalam.

Baca juga: “Esoknya nak nikah tiba-tiba muka jadi buruk disantau kawan baik sendiri, semua sebab dia nak bakal suami aku…”