“Saya nak nyawa dibalas nyawa” – Isteri mangsa rempuh pemandu mabuk tuntut keadilan

Oleh MALAYSIADATELINE

Isteri kepada Amirul Hafiz Omar, penungang motosikal yang maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk iaitu Nur Nadia mahu pelaku terlibat mendapat hukuman setimpal dengan jenayah dilakukannya.

Nor Nadia Abdul Majid yang turut hadir di Mahkamah Majistret Klang itu kelihatan berada di dalam keadaan sedih namun sempat meluahkan hasrat agar pelaku menerima hukuman ‘nyawa dibalas nyawa’.

Ibu kepada tiga anak itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pada jam 9.18 pagi dengan diiringi peguamnya, Mohd Faizi Che Abu bagi mengikuti prosiding pertuduhan di mahkamah berkenaan, lapor Malaysia Gazette.

Turut hadir bersama untuk memberi semangat kepada isteri mangsa ialah aktivis, Rafidah Ibrahim yang pernah bergelar pelakon dan penyanyi serta ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

“Saya nak nyawa dibalas nyawa,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette ketika ditemui pihak media sebaik melangkah masuk ke Kompleks Mahkamah Klang kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.

Amirul Hafiz Omar adalah mangsa rempuh pemandu kereta yang dipercayai berada bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, pada Ahad lalu.

Suspek kes kemalangan maut yang berusia lingkungan 20-an itu turut dibawa ke mahkamah hari ini dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk menghadapi pertuduhan berhubung kejadian tersebut.

Lelaki itu dibawa dalam keadaan bergari ke mahkamah dengan kawalan ketat dari anggota dan pegawai polis sehari sebelum tempoh reman empat hari tamat dan dijangka didakwa di hadapan Majistret A Karthiyayin.

Terdahulu, suspek yang didapati positif alkohol dan dadah terbabit ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara sehingga 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun jika didapati bersalah.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.40 pagi apabila seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu oleh suspek.

Pemandu yang bergerak laju menuju ke arah bandar Klang dari Jalan Raya Barat itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

Impak daripada pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa yang bekerja di gudang pada waktu siang dan dan penghantar makanan di malam hari itu tercampak ke sebuah kereta Perodua Myvi sebelum maut di lokasi kejadian.

Jenazah mangsa dikenal pasti sebagai Amirul Hafiz Omar itu kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak pada sekitar jam 12 malam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira yang kini berusia dua tahun.

Baca juga: Pengguna diesel jangan risau, kerajaan masih kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300