Ekoran ramai lagi pelajar yang tidak mendapat bantuan komputer riba yang dijanjikan kerajaan, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan adakah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) benar-benar serius dengan pendidikan anak-anak di Malaysia.
Beliau berkata, sekolah di Kepong pada semalam telah menerima sejumlah 242 komputer riba baharu yang diberikan oleh sebuah syarikat swasta.
Sehingga hari ini juga katanya, semua bantuan yang diberikan kepada sekolah-sekolah di Kepong adalah dari organisasi, syarikat dan dari rakyat sendiri, tetapi tidak ada bantuan sedemikian dari kerajaan.
“Sekolah adalah institusi di bawah kelolaan kerajaan, tetapi semuanya pihak sekolah yang perlu cari sendiri.
“Laptop yang dijanjikan pula masih belum diberikan kepada mereka yang memerlukan. Sampai sekarang habuk pun tak nampak.
“Sudah hampir dua tahun kita berada di dalam pandemik Covid-19 ini tetapi masih tiada perancangan khusus untuk pendidikan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lip Eng menambah, KPM sepatutnya memberikan lebih banyak belanja kepada sektor pendidikan, lebih-lebih lagi dalam memastikan transisi dari kelas fizikal ke kelas maya dapat dilakukan dengan jayanya.
Namun katanya, kerajaan PN hanya menggunakan wang untuk membeli Ahli Parlimen dan buat jawatan baru untuk ahli politik yang ‘tak boleh pakai’.