Malaysia dan Thailand bersetuju memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian serta agromakanan menerusi mesyuarat dua hala yang memberi tumpuan kepada isu perdagangan, biosekuriti dan peluasan akses pasaran bagi produk pertanian kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Suriya Jungrungreangkit, bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan sektor pertanian dan perikanan.
Turut hadir ialah Duta Besar Thailand ke Malaysia, Lada Phumas, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand, Vinaroj Supsongsuk, serta delegasi daripada kedua-dua kementerian.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia membangkitkan beberapa isu perdagangan melibatkan produk pertanian termasuk sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand, pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia serta permohonan akses pasaran produk ternakan ke negara itu yang masih tertangguh sejak 2024.
Malaysia turut menjelaskan justifikasi sekatan sementara terhadap import lima jenis udang dari Thailand yang dibuat berdasarkan penilaian teknikal dan maklumat risiko semasa bagi memastikan tahap biosekuriti serta keselamatan makanan negara terus terpelihara.
Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), langkah tersebut akan terus berkuat kuasa sehingga proses penilaian lanjut selesai.
Termasuk kemungkinan menjalankan penilaian di lapangan (on-site assessment), perbincangan teknikal berkaitan keperluan import serta pengaturan pensijilan kesihatan.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membincangkan dengan lebih lanjut perkara ini bagi mendapatkan keputusan yang boleh memanfaatkan kedua-dua belah pihak,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia turut meminta Thailand memudahkan urusan perdagangan produk pertanian yang menggunakan ASEAN Rapid Transit System.
Khususnya dalam pengeluaran permit khas oleh Jabatan Pertanian (DOA) Thailand bagi meningkatkan kebolehpasaran produk pertanian Malaysia ke China, termasuk durian.
Kedua-dua negara juga menegaskan kepentingan mengekalkan komunikasi yang terbuka, telus dan pantas antara pihak berkuasa berkaitan, selain memperkukuh kerjasama teknikal serta perdagangan dalam sektor pertanian dan agromakanan demi manfaat bersama.
KPKM memaklumkan hubungan perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dan Thailand terus menunjukkan perkembangan positif dengan nilai perdagangan mencecah RM20.33 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.
Eksport utama Malaysia ke Thailand merangkumi kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari Thailand termasuk daging serta produk berasaskan daging.
Pada akhir pertemuan itu, Mohamad turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Thailand untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang, bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Baca juga: Rebut peluang keemasan ini! Ketahui manfaat BAKAT Madani dilancarkan PM Anwar