Selamba cabul wanita di tepi jalan, lelaki ini akhirnya berjaya diberkas polis

Oleh WAN SITI AMINAH

Malang tidak berbau, seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila dicabul oleh seorang lelaki ketika berjalan di sebuah kawasan perumahan.

Dalam kejadian yang berlaku di Sea Park, Petaling Jaya itu, wanita berkenaan tiba-tiba dipeluk dari arah belakang oleh lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek tersebut telah ditahan pada Jumaat lalu.

Hasil siasatan mendapati, suspek yang ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan itu sebenarnya dikehendaki polis.

“Suspek adalah seorang yang dikehendaki polis bersabit dua kes jenayah iaitu di Wangsa Maju dan juga di Kelana Jaya,” katanya.

Diberkas di Ara Damansara, suspek berjaya dijejaki oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Terdahulu, kejadian tersebut menjadi perbincangan hangat di media sosial berikutan ia berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Menerusi video tersebut, mangsa terlihat berusaha sekuat hatinya untuk melepaskan diri dari pelukan lelaki durjana itu.

Segera menjerit bagi mempertahankan diri, pemuda yang berpakaian serba hitam dan memakai pelitup muka itu segera melarikan diri.

Diharapkan dengan kejadian ini, pihak berkuasa dapat mencari jalan untuk meningkatkan keselamatan orang awam terutamanya bagi kaum wanita.

Baca juga: Sesak nafas, M. Daud Kilau dikejarkan ke hospital