Selepas 4 hari ditidurkan, Lajim Ukin meninggal akibat Covid-19

Oleh BORHAN AHMAD

Bekas timbalan menteri Lajim Ukin meninggal dunia hari ini selepas dijangkiti wabak Covid-19 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi di sebuah hospital di Kota Kinabalu.

Perkara itu disahkan Amanah Ikhtiar Malaysia di Facebook pagi ini di mana Allahyarham adalah pengerusi eksekutif badan itu.

“Seluruh warga kerja dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengerusi Eksekutif AIM, Haji Lajim Haji Ukin yang telah pulang ke rahmatullah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa,” menurut hantaran Facebook itu.

Sebelum ini, Lajim yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dirawat di sebuah hospital di Kota Kinabalu dilaporkan akan mula ditidurkan untuk rawatan susulan akibat Covid-19.

Allahyarham dirawat di hospital itu sejak 13 Ogos lalu.