Selepas 60 peratus pelari denai mohon tangguh, MMTF 2022 dianjak seminggu lepas PRU15

Oleh ARIF ATAN

Selepas 60 peratus pelari denai Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF) 2022 membuat keputusan untuk menangguhkan acara ke tahun depan, pihak penganjur menganjakkan perlumbaan seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah program, Ewegene Tan menyifatkan penentuan tarikh pada 24 hingga 27 November itu sebagai “tidak mempunyai pilihan selain membuat keputusan yang menyakitkan”.

Menerusi kenyataan hari ini, dia berkata, jika perlumbaan merentas hutan di Bukit Larut, Taiping itu diteruskan pada 17 hingga 20 November, pihaknya gagal mencapai tujuan acara untuk memberikan pelari pengalaman lengkap ekoran penangguhan yang tinggi mencecah 60 peratus itu.

MMTF 2019 menyaksikan lebih 2,100 peserta dari 35 negara dalam empat kategori larian denai iaitu 13km, 25km, 55km dan 84km.

Dalam masa sama, jelasnya, pihak penganjur diminta oleh agensi kerajaan untuk memberikan komitmen mandatori bahawa tiada kejadian tidak diingini akan berlaku tanpa penglibatan mereka terbabit sepanjang perlumbaan jika mengikut jadual acara asal.

“Kami tidak dapat memberikan komitmen ini kerana dalam usaha memberikan pelari pengalaman larian denai yang sempurna, perlumbaan ini membawa pelari ke dalam Hutan Simpanan Hutan Dara (VJR).

“Justeru, risiko yang dikaitkan dengannya memerlukan kami dibantu oleh agensi kerajaan terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perhutanan Malaysia semasa kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Baca Artikel Penuh