Semua masjid Wilayah Persekutuan kini boleh kuliah agama

Oleh KIM SYAZIE

Selepas mendapat Menteri agama yang baharu, antara perkara awal yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah membenarkan semua masjid dan surau melaksanakan kuliah.

Menurut satu kenyataan media yang ditandatangani Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau itu berkuatkuasa hari ini, Jumaat 1 Oktober.

Ia berdasarkan titah perkenan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang membenarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid.

Ketetapan baru itu terpakai di surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mohd Ajib berkata, selepas ini kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain.

“Semua masjid dan surau juga dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Zohor, tazkirah sebelum solat Jumaat, tadarus Al-Quran, kuliah Muslimat, bacaan Yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan.

“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” kata kenyataan itu.