Seronok belanja kawan guna kad kredit, wanita terkejut hutang mencecah RM241,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Ramai masih belum sedar bahawa hutang kad kredit perlu dilunaskan sebelum tempoh ditetapkan, dan akibatnya, kos faedah boleh membebankan.

Terlalu terikat dengan gaya hidup, kepuasan diri, dan tekanan untuk ‘keep up’ dengan rakan sebaya, ramai belia sanggup hidup berhutang tanpa memikirkan akibatnya.

Wanita dari Southampton, Britain, tidak menyangka hutang kad kreditnya mencecah £40,000 (RM241,137), meninggalkan beban kewangan yang cukup besar untuk ditanggung.

Menurut Daily Star, Maddy Alexander-Grout, mula ditawarkan kad kredit di pameran universitinya pada usia 18 tahun.

Masih muda dan tidak tahu tatacara penggunaan kad kredit, Maddy mula ketagih berbelanja pelbagai barangan mewah.

Malah dia juga sanggup menggunakan kad tersebut untuk belanja rakan-rakan ketika keluar berhibur.

“Saya mengeluarkan kad kredit dan overdraf. Pada satu ketika, saya juga mendapat geran universiti, pinjaman dan pelbagai jenis kad kedai.

“Saya benar-benar mempunyai ketagihan dalam perbelanjaan,” kata Maddy.

Maddy mula merasa bimbang apabila dia sedar pengutip hutang boleh menjejaknya di mana sahaja dia berada.

“Saya hidup dalam ketakutan bahawa saya akan kehilangan tempat tinggal. Sepanjang 10 tahun, itu benar-benar menakutkan,” kata Maddy.

Tidak mahu hidup terbeban dengan hutang, Maddy menjual pakaian secara atas talian untuk membayar semua tunggakan kad kreditnya.

Pada masa sama, Maddy mula memperbaiki tabiat kewangan dan melihat segala perbelanjaan agar tak merana di kemudian hari.

Baca juga: CEO kongsi cabaran di sebalik tabir, pasukan produksi pening nak hasilkan Papa Zola versi muda!