Sesi persekolahan penggal ke-3 2021/2022 yang dijadualkan bermula pada 3 atau 4 Januari ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin dalam klip videonya berkata, penangguhan sesi persekolahan ini mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru-guru yang secara langsung atau tak langsung.
Katanya, ditambah pula sekolah-sekolah sama ada dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara ataupun sekolah yang terjejas teruk.
“Maka KPM membuat keputusan sesi persekolaha penggal ketiga 2021-2022 ditangguhkan seminggu.
“Maknanya sesi sekolah akan bermula pada 9 Jan 2022 bagi negeri kumpulan A, dan 10 Jan 22 bagi kumpulan B,” kata beliau.
Kata menteri kanan itu, maklumat lanjut mengenai hal berkenaan akan dikeluarkan melalui kenyataan media KPM sebentar lagi.
Pengumuman itu dibuat melalui klip video pendek yang dimuat naik di Facebook Radzi petang ini.