Siapa sangka, seorang pemuda sanggup mengeluarkan belanja sebanyak RM2,500 setiap bulan hanya untuk menanggung perbelanjaan teman wanitanya.
Bukan untuk membeli barangan mahupun perhiasan mewah, sebahagian besar gaji bulanan lelaki berkenaan diguna untuk membeli makanan buat wanita pujaannya itu.
Tindakan yang diambil tanpa berfikir panjang itu malah memakan diri lelaki terbabit apabila baki gaji untuk perbelanjaan peribadinya hanyalah tinggal sebanyak RM150.
Lelaki berkenaan kemudian tampil membuat perkongsian menerusi satu hantaran di platform media sosial X, baru-baru ini tanpa mendedahkan identiti sebenar dirinya.
“(Belanja) Duit makan setiap bulan keluar RM2,500. Masuk hujung bulan, gaji hanya tinggal RM150 sahaja. Cepat sahaja habis duit kalau ada teman wanita yang kuat makan macam ini.
“Padahal masa tiada kekasih dahulu, makan sekali sehari sahaja,” tulis lelaki terbabit menerusi satu ciapan dimuat naik melalui platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter itu.
Difahamkan, perkongsian tersebut mungkin dibuat oleh lelaki berkenaan bagi mendapatkan nasihat supaya dapat keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya itu.
Perkongsian yang tular di media sosial itu ternyata berjaya meraih perhatian ramai dengan mencatat hampir setengah juta tontonan daripada pengguna platform X.
Rata-rata pengguna memberikan cadangan supaya lelaki berkenaan meninggalkan sahaja teman wanitanya itu selain mula berfikir secara logik mengenai tindakannya.
Beberapa individu juga berkongsi pendapat bahawa masalah mungkin berpunca dari sikap pengadu yang lebih mementingkan orang luar berbanding keluarganya sendiri.
“Kalau perempuan itu tak nak bayar makanan dia sendiri, cubalah ajak makan dekat warung sahaja. Kalau kekasih hang tarik muka, boleh putus cari teman wanita lain,” kata serang pengguna.
“Cuba pandang masalah ini dari sudut berbeza. Mungkin rezeki kau sempit sebab berkira dengan adik-beradik atau mak ayah. Tetapi buat seseorang yang belum tentu jodoh, kau sanggup habiskan RM2,500 untuk makan sahaja. BODOH.” Kongsi pengguna lain.
Walaupun situasi sebenar lelaki berkenaan tidak diketahui namun komen yang ditinggalkan orang ramai itu ada benarnya juga, semoga pengadu dapatlah mencari jalan penyelesaiannya.
Baca juga: Hidup berjimat cermat setiap hari, lelaki berjaya bersara dengan RM4 juta pada usia 45 tahun