Sepanjang perkhidmatannya selama lebih 36 tahun sebagai seorang guru, pesara ini mengaku tidak pernah mengambil cuti sakit.
Menurut Mohd Radin Sidek, sekiranya merasa tidak sihat, beliau akan terus menelan ubat untuk meredakan kesakitannya.
Bagai lilin membakar diri, pesara guru ini sanggup berkorban dalam misinya untuk mendidik anak bangsa agar berjaya suatu hari nanti.
Usaha tidak mengkhianati hasil, Radin berjaya mendapatkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali iaitu pada 2009, 2016 dan 2021.
“Jika berasa sakit kepala atau selesema, saya akan terus mengambil ubat terutama panadol bagi meredakan kesakitan itu.
“Sepanjang bertugas juga saya tidak pernah sakit teruk, jadi saya tidak perlu mengambil cuti sakit. Ini adalah rezeki yang Allah SWT berikan,” katanya.
Lelaki yang berusia 60 tahun itu khuatir anak muridnya akan ketinggalan dalam pelajaran sekiranya dia gagal hadir ke sekolah.
“Saya tidak mahu mengambil cuti sakit kerana ia akan menjejaskan pelajaran pelajar apabila silibus tidak sempat dihabiskan dalam masa yang ditetapkan,” ulasnya.
Mohd Radin telah berkhidmat sebagai guru subjek Seni Visual di 10 buah sekolah di empat negeri termasuk Kelantan.
Baca juga: Suami sibuk memancing, isteri pula ‘sangkut’ dengan cik abang jiran sebelah