Siap masak baru perasan, wanita dakwa jumpa 4 helai bulu dalam daging kisar

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial dakwaan seorang wanita yang mendakwa menemui helaian bulu di dalam hidangan dimasak menggunakan daging kisar jenama tempatan popular.

Menerusi perkongsian dimuat naik di Threads, wanita dikenali sebagai @syaqirazainal_ berkata dia menyedari kewujudan objek dipercayai bulu itu ketika memasak lasagna untuk anaknya.

“Weh sumpah pengotor daging ni. Sebelum ni baca kes orang jumpa kelopak mata dan bulu mata dalam daging cincang.

“Hari ini aku nak masak lasagna anak aku saja belek sekali ada bukan satu bukan dua, sekali empat aku jumpa,” tulisnya.

Wanita itu turut memuat naik beberapa gambar yang didakwa menunjukkan helaian bulu ditemui dalam makanan tersebut sebelum menyeru orang ramai memboikot produk berkenaan.

Bagaimanapun, hantaran tersebut turut menerima pelbagai reaksi termasuk tuduhan bahawa dia sengaja memfitnah jenama terbabit.

Susulan itu, wanita berkenaan tampil mempertahankan dirinya dan menafikan dakwaan kononnya dia cuba mensabotaj atau memburukkan perniagaan syarikat tersebut.

“Tak ada faedah untung rugi pun aku dapat nak fitnah membabi buta buang masa buat posting ini nak jatuhkan bisnes orang.

“Memang aku jumpa bulu-bulu itu masa tengah masak semalam, kebetulan teringat pasal isu brand ni so saja belek-belek sekali terjumpa aku ambil gambar,” katanya lagi.

Menurutnya, perkongsian dibuat hanyalah sebagai peringatan kepada pengguna lain supaya lebih berhati-hati.

Seorang pengguna dikenali sebagai @redrvn_ mendakwa isu kawalan kualiti produk sepatutnya diberi perhatian serius dan bukannya terus menganggap pengguna cuba mensabotaj jenama tertentu.

“Hahaha QC ke laut lepas tu dok cakap orang sabotaj. Dah lama sangat dalam comfort zone sebenarnya,” tulisnya.

Selain itu, seorang lagi pengguna, @azyloveyou mengakui dirinya penyokong tegar produk jenama tersebut namun berharap syarikat tampil memberikan penjelasan atau permohonan maaf kepada pengguna.

“Memang penyokong tegar, tapi benda macam ini, dia tak ada nak k;arifikasi ke eh atau buat public apology,” katanya.

Bagaimanapun, ada juga netizen yang mempertahankan produk berkenaan dengan mendakwa mereka tidak pernah mengalami situasi sama walaupun kerap membeli daging kisar tersebut.

“Saya ni boleh kata dalam sebulan tu ada lah tiga kali beli daging hancur. Sekali pun tak pernah jumpa bulu-bulu yang korang jumpa,” kata seorang pengguna lain.

Malah, seorang lagi individu mendakwa dia turut mengalami pengalaman hampir sama dan sudah membuat aduan menerusi emel kepada pihak berkaitan.

Baca juga: Syed Saddiq rasa bersalah galak pengasas Gojek sertai politik, kini terpalit kes rasuah