Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa bersalah atas nasib menimpa bekas Menteri Pendidikan Indonesia dan pengasas bersama Gojek iaitu Nadiem Anwar Makarim yang kini berdepan tuduhan rasuah.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Syed Saddiq mengakui pernah memberikan galakan kepada Nadiem untuk menyertai bidang politik dan perkhidmatan awam ketika bertemu di rumahnya pada tahun 2019.
Nadiem mulanya menolak cadangan itu kerana mempunyai cara sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat Indonesia dengan mewujudkan pekerjaan, peluang, maruah, dan harapan melalui platform Gojek.
Beberapa bulan kemudian, mereka bertemu kembali dan Syed Saddiq gembira menerima khabar bahawa sahabatnya itu dipilih untuk memimpin pembaharuan yang sangat diperlukan dalam sistem pendidikan Indonesia.
Namun beliau kini berdepan hukuman penjara 18 tahun atas dakwaan rasuah membabitkan perolehan komputer riba Chromebook dan sistem Chrome Device Management (CDM) yang menyebabkan kerugian AS$125.64 juta (sekitar RM594 juta).
“Saya tidak dapat bayangkan kesakitan dan penderitaan yang anda dan keluarga alami sekarang. Anda rela meninggalkan syarikat yang bernilai berbilion dolar dan memilih perkhidmatan awam. Sebagai seorang rakan, ia sangat menyakitkan hati saya.
“Orang yang membantu membina Gojek, mencipta berjuta-juta peluang dan membawa berbilion-bilion pelaburan dan inovasi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Indonesia. Namun hari ini, orang yang sama dituduh, diserang, dan dilanda pertempuran undang-undang yang menyakitkan.
“Saya rasa bersalah. Kerana saya adalah salah seorang yang menggalakkan anda untuk memasuki bidang perkhidmatan awam. Sering sekali, orang baik harus ‘dibunuh’ dulu reputasinya, karakternya, maruahnya supaya sistem yang bobrok dapat terus dikekalkan,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam hantaran sama, Syed Saddiq tidak lupa memberi semangat dan solidariti untuk Nadiem dan berharap orang baik sepertinya tidak mengalah dalam dunia politik walaupun terpaksa berdepan pelbagai tuduhan serta tekanan.
Beliau yang pernah melalui pengalaman sama cukup memahami kesakitan yang kini sedang dihadapi oleh Nadiem namun tetap percaya bahawa kebenaran akan terbukti juga pada akhirnya.
“Apabila orang yang jujur dihukum kerana berkhidmat, seluruh generasi hilang harapan. Saya sendiri telah melalui dugaan selama enam tahun yang panjang. Alhamdulillah, Allah SWT mendengar doa saya. Akhirnya saya dibebaskan sebulat suara di mahkamah.
“Kerana perjalanan itu, saya ingin memberitahu anda dari lubuk hati yang paling dalam; Allah SWT sentiasa bersama mereka yang telah dianiaya. Kebenaran mungkin lambat. Tetapi kebenaran tidak mati. Satu kerugian apabila orang yang baik dalam politik ‘dibunuh’ kerana cuba berkhidmat.
“Kekal kuat, Nadiem. Kebenaran akan menemui masanya. Orang yang baik tidak boleh berputus asa dalam politik. Kerana apabila orang yang baik pergi, yang ‘korup’ akan menang. Apabila reformis musnah, sistem akan kekal rosak.” Ujar Syed Saddiq lagi.
Terdahulu, Nadiem didakwa dalam kes rasuah berskala besar membabitkan perolehan komputer riba yang tidak teratur semasa tempoh pandemik sehingga menyebabkan kerugian negara mencecah AS$125.64 juta (kira-kira RM594 juta).
Nadiem yang meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Gojek pada tahun 2019 untuk menyertai kabinet Republik Indonesia itu juga dituduh memperkayakan diri sendiri sebanyak 809 bilion rupiah (kira-kira RM230 juta).
Wang berkenaan didakwa diperoleh melalui projek perolehan komputer riba Chromebook dan sistem operasi Chrome OS untuk kegunaan sekolah-sekolah di seluruh Indonesia antara tahun 2020 sehingga 2022.
Pihak pendakwaan dalam hujah mereka mendakwa bahawa Nadiem dengan sengaja menetapkan spesifikasi tender yang hanya memihak kepada sistem Chrome bagi tujuan tertentu.
Tindakan didakwa dilakukan Bekas Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia itu bagi membolehkan syarikat gergasi teknologi iaitu Google menjadi penguasa tunggal dalam ekosistem pendidikan di negara tersebut.
Pihak mahkamah dimaklumkan bahawa perolehan Chromebook diteruskan walaupun kementerian pada tahun 2018 sudah menetapkan peranti itu tidak sesuai digunakan kerana memerlukan sambungan internet yang stabil.
Masalah itu menjadi isu kritikal kerana akses internet masih terhad di kawasan pedalaman namun Nadiem dilaporkan tetap meneruskan pembelian selepas mengadakan beberapa siri pertemuan dengan wakil Google Asia Pasifik dan Google Indonesia sepanjang tahun 2020.
Namun Nadiem yang ditahan pada September lalu bersama beberapa pegawai kanan kementerian Indonesia menafikan sebarang salah laku dan keputusan mahkamah berhubung kes itu dijangka dapat dicapai pada bulan Jun depan.
Baca juga: Kerajaan perketat kemasukan sayur import mulai Jun 2026, ini lima produk terlibat