‘Siapa kaki bodek sebenarnya? Setahu saya kaki bodek adalah Noh Omar’

Oleh NASUHA RAHMAN

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil menyifatkan Tan Sri Noh Omar diibaratkan umpama ‘kacang lupakan kulit’ selepas mendakwa orang Umno sebagai kaki bodek.

Noh, yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, Umno kini hanya tinggal kaki bodek, yang kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.

“Lokman Adam, Isham Jalil, di peringkat bahagian pun mereka tak dapat menang, macam mana Umno kata itu suara akar umbi,” katanya.

Isham berkata, Noh sepatutnya sedar bahawa Umno banyak berjasa kepadanya dan perkara itu jangan dilupa.

“Umno banyak berjasa kepada kamu, jangan lupa itu,” katanya dalam satu hantaran, di Facebook hari ini.

Isham berkata, Noh sebenarnya adalah kaki bodek yang melobi kepada Datuk Seri Najib Razak untuk dipilih menjadi Menteri.

“Semalam, Noh Omar kata orang Umno kaki bodek. Setahu saya yang kaki bodek adalah Noh Omar.

“Dulu, seingat saya semasa dia (Noh Omar) ingin jadi Menteri, dia bodek PM Najib dan sampai saya pun dia (Noh Omar) bodek. Masa itu saya bekerja di Pejabat Perdana Menteri.

“Dulu, Umno yang angkat dia (Noh Omar) sebagai wakil rakyat sehingga jadi Menteri.

Kini, hanya beberapa bulan selepas dia minta dipecat daripada Umno, dia sudah mula kutuk dan caci Umno, umpama kacang lupakan kulit…hanya kerana dia ingin bertanding pilihan raya lawan Umno,” katanya.

Sabtu lalu, Noh mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan berikrar menjadikan Parlimen Tanjung Karang sebagai kubu kuat parti itu selepas sekian lama dikuasai Umno.

Noh dipecat daripada Umno, Januari lalu bersama bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, atas dakwaan melakukan sabotaj terhadap parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Baca juga:

Baca juga: Patutkah Majlis Peguam didaftar sebagai badan politik?