Tinjauan undian atau ‘poll’ mengenai pencalonan Perdana Menteri untuk penggal hadapan telah berjaya mengundang perhatian ramai di platform media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan perkongsian tular dimuat naik di platform Threads itu, seramai empat pemimpin popular disenaraikan untuk dipilih sebagai calon yang bakal mentadbir negara pada penggal seterusnya.
Namun siapa sangka, Perdana Menteri terkini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi pilihan rakyat Malaysia walaupun segelintir pihak bertindak menggesanya untuk ‘turun’ daripada tampuk kepimpinan.
Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu menduduki tempat pertama dengan memperoleh sebanyak 54 peratus undian jauh meninggalkan tiga calon lain tersenarai dalam tinjauan tersebut.
Tempat kedua pula diduduki Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 16 peratus undian diikuti rapat oleh bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (15 peratus).
Manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menduduki tangga terakhir dengan kadar undian 15 peratus iaitu sama dengan Mahathir dalam tinjauan yang kini sudah mendapat 11,379 pungutan suara itu.
Walaupun tinjauan tersebut masih belum ditutup setakat artikel ini ditulis, namun pengundi percaya bahawa prestasi Anwar sudah cukup baik di dalam memimpin negara menghadapi krisis dunia.
Beberapa pengguna Threads bagaimanapun merasa kurang puas hati kerana tinjauan itu disifatkan tidak lengkap tanpa nama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
