Bermain permainan video atas talian boleh melalaikan jika kita tidak pandai membahagi masa tidak kira buat yang tua atau muda.
Seorang ibu kepada enam orang anak akhirnya bergelar janda selepas dikatakan ketagih bermain permainan video dalam talian, Player Unknown’s Battlegrounds atau PUBG.
Kisah tersebut dicerita semula oleh satu tangkap layar kiriman mesej di Twitter dari adik wanita tersebut.
Katanya, setiap hari hidup kakaknya dihabiskan untuk bermainan PUBG selain gemar membuat penstriman langsung bagi meraih ‘hadiah’ daripada pengikut.
Wanita tersebut dikatakan terlalu fokus kepada permainan sehinggakan tidak mempedulikan keadaan rumah termasuklah keperluan suami dan anak-anak.
“Jadi dekat kakak aku sendiri sampai cerai-berai. Kakak aku itu dah ada enam anak, kahwin awal.
“Terjebak dengan PUBG masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sejak itu dia terus gila game (permainan video),” kongsi individu tanpa nama itu.
Katanya lagi, perniagaan kakaknya juga sudah tidak berjaya kerana terlalu fokus bermain permainan video dalam talian itu.
“Bisnes hancur, kereta mewah pun digadai sebab fokus hanya pada game, memang betul-betul melalaikan sampai anak-anak dia pun mak ayah (ibu bapa) aku yang jaga sebab terlalu terabai.
“Bila orang tegur dia kata hanya content (bahan video), nak cari duit. Kalau buat live di TikTok selalu dapat ‘gift’. Suami tegur pun jadi gaduh, bergelut depan anak-anak sampai mereka trauma. Sekarang dah bercerai.
“Anak-anak mereka mak ayah aku yang jagakan sekarang. Cuma aku selalu doa kakak aku berubah dan sekarang macam kurang sikit game dia, dah ingat anak-anak, tak teruk macam dulu,” katanya.
Individu itu sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak terlalu taksub bermainan permainan video sehingga mengabaikan tanggungjawan diri.
Baca juga: Gempar, pekerja pembersihan jumpa wang hampir RM330,000 dalam plastik sampah