Sidang cuma lima hari, Parlimen dah macam kelas tadika, kata Salahuddin

Oleh KIM SYAZIE

Pada semalam, Dewan Rakyat telah mengedarkan takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai nanti.

Menerusi takwim tersebut, persidangan Parlimen hanya akan membabitkan penerangan-penerarang dari menteri Kabinet dan tiada sesi soal jawab sepanjang lima hari bersidang.

Justeru itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengkritik jadual urusan majlis tersebut dengan menyifatkan Parlimen seperti sudah menjadi kelas tadika.

“Persidangan Parlimen yang ditetapkan pada 26 Julai hingga 2 0gos 2021 ini hanya menjadikan Parlimen macam kelas tadika.

“Ini melanggar titah (Yang di-Pertuan) Agong pada 29 Jun 2021 untuk membahas ordinan darurat dan melaksanakan semak imbang pentadbiran negara.

“Inilah perangai kerajaan gagal,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya lewat malam tadi.

Sebelum ini, Agong menitahkan agar Parlimen bersidang segera bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisma semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.