Sistem Alamat Nasional 2025 bakal bantu kurangkan ralat penghantaran, tingkat kecekapan alamat negara

Oleh KIM SYAZIE

Persidangan Alamat Nasional 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menjadi platform penting ke arah pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) secara menyeluruh di negara ini.

Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berlangsung selama dua hari bermula 16 Julai, dengan kehadiran lebih 500 orang daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil.

“Persidangan ini menjadi landasan penting ke arah pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional (NAS) di negara ini, memberi fokus kepada dasar strategik dan amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Komunikasi Korporat SKMM.

Selain sesi pembentangan teknikal dan panel pakar, turut diadakan pameran interaktif, sesi jaringan antara agensi dan perbincangan kolaboratif yang menyumbang kepada hala tuju bersama bagi masa depan pengurusan alamat di Malaysia.

Menurutnya, NAS menjadi platform untuk memulakan wacana peringkat nasional mengenai dasar, sistem dan tadbir urus berkaitan alamat di Malaysia; memperkukuh pengurusan alamat secara bersepadu di seluruh negara selain mengenal pasti penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan alamat.

Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 12 juta alamat, namun masih tiada pangkalan data nasional yang seragam, sekali gus mewujudkan cabaran dalam pelbagai aspek pentadbiran dan operasi.

“Ketidakseragaman data ini menjejaskan kecekapan perkhidmatan dan operasi, perancangan polisi, tindak balas kecemasan dan membebankan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

“NAS telah dikenalpasti pasti sebagai salah satu agenda utama dalam menyokong peralihan Malaysia kepada era digital dan pengurusan pintar bandar yang berasaskan data.

“Sistem alamat yang bersepadu dan standard kebangsaan amat penting dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital serta pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan berkaitan ekonomi digital,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, sistem ini dijangka membawa manfaat besar khususnya dalam sektor e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier.

“Sistem ini dijangka membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier.

“Dengan penggunaan alamat dan lokasi koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efisien, serta mengurangkan risiko kesilapan penghantaran,” tambahnya.

Baca juga: Polis serbu perjumpaan gay dalam banglo di Kelantan, rampas ratusan kondom dan ubat HIV