Konflik antara Ustaz Mohamad Wadi Annuar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) semakin panas apabila pendakwah bebas itu dilapor mencabar jabatan agama Islam itu untuk memfailkan saman terhadapnya.
Ini selepas JAIPs mengeluarkan penjelasan mendakwa kenyataan media dikeluarkan penceramah bebas itu jauh tersasar dari kejadian sebenar.
Ustaz Wadi membuat cabaran itu menerusi satu sesi Facebook Live yang berdurasi lapan minit hari ini bagi menjelaskan apa yang berlaku pada sesi rakaman keterangan yang gagal dijalankan pihak JAIPs, semalam.
Menurutnya, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkara yang berlaku semasa pihaknya tampil untuk dirakam keterangan, namun penjelasan itu disangkal Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.
“Yang pertama kami menegaskan bahawa kenyataan media itu adalah benar, perkara yang (dikatakan) berlaku adalah benar dan kita mempunyai saksi bersama kita daripada pagi bermula siasatan sehingga akhir proses.
“Kenyataan media JAIPs berkaitan siasatan terhadap saya, dalam perenggan kedua menyatakan kenyataan
Menurutnya, sepanjang proses rakaman percakapan itu semua perbualan dirakam secara audio dan video yang patut disiarkan supaya masyarakat boleh menilai sendiri perkara sebenar yang berlaku.
“Saya cabar JAIPs siarkan rakaman video itu tanpa diedit…saya cabar JAIPs keluarkan kenyataan rasmi terutama pengarah yang menafikan kebenaran kenyataan media bertulis dari saya.
“Saya juga cabar JAIPs untuk menyaman sivil terhadap saya atau mana-mana individu terbabit sekiranya apa yang kami laporkan dalam kenyataan media pada 2 Mei tidak benar, jauh tersasar,” katanya.
Untuk rekod, pendakwah itu dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kangar, Perlis 28 Mac lalu.