Speaker dan Timbalan Speaker positif Covid-19, sidang DUN Negeri Sembilan ditangguhkan

Oleh ARIF ATAN

Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang sepatutnya berlangsung mulai hari ini hingga 24 Mac, ditangguhkan ke suatu tarikh baharu berikutan Speaker dan Timbalan Speaker disahkan positif Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pada sidang media di Bilik Gerakan Wisma Negeri hari ini, tarikh baharu itu akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, hal tersebut sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk mendapatkan perkenan baginda.

“Pada jam 8 pagi tadi, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Dr Razali Ab Malek) menghadap Tuanku Muhriz di Istana Munarah untuk memaklumkan bahawa Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, dan Timbalan Speaker, Datuk M Ravi, disahkan positif Covid-19.

“Kami memaklumkan kepada baginda dan mencadangkan mesyuarat atau persidangan DUN ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dicadangkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada Tuanku Muhriz dalam tempoh terdekat ini, bagi mendapatkan perkenan baginda,” katanya.

Speaker dan Timbalan Speaker positif Covid-19, sidang DUN Negeri Sembilan ditangguhkan
Aminuddin Harun

Dalam masa sama, Aminuddin memberitahu selain Zulkefly Mohamad dan Ravi, seramai 23 individu lain termasuk ketua jabatan serta petugas DUN turut dijangkiti Covid-19.

Beliau menjelaskan berikutan situasi Covid-19 dan ramai petugas turut dijangkiti wabak berkenaan, persidangan DUN terpaksa ditangguhkan walaupun kerajaan negeri boleh melantik Speaker sementara.

“Ini bagi memastikan perjalanan persidangan DUN dapat berlangsung dengan baik.

“Kita sedia maklum ada dua Rang Undang-Undang (RUU) yang perlu dibentangkan pada persidangan DUN kali ini, jadi kita rasa Speaker dan Timbalan Speaker perlu ada bersama,” katanya lagi.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/kerajaan-ph-negeri-sembilan-pimpinan-aminuddin-sangat-cemerlang-kata-pemuda-ph/