Bagi ramai lelaki, konflik antara menjaga hati ibu dan membela isteri adalah satu dilema yang kerap berlaku dalam kehidupan rumah tangga.
Mereka sering merasa tersepit apabila arahan ibu bertentangan dengan kepentingan rumah tangga, lebih-lebih lagi jika isteri seorang yang baik dan taat.
Dalam satu perkongsian di Threads, seorang peguam syarie, Aiman Zulkifli berkongsi kisah klien yang mahu menceraikan isteri atas permintaan ibunya.
“Ada satu persoalan yang ditanya oleh klien saya. Ibunya menyuruh dia ceraikan isterinya kerana isterinya tersebut bukan menantu pilihan.
“Bila ditanya kenapa ibu tak suka? Jawapannya hanya isteri orang kampung tak ada pendidikan tinggi.
“Saya tanya lagi, encik sayang isteri? Dia jawab yang dia sayangkan isteri dan tak pernah jumpa wanita yang selembut dan sesabar isteri.
“Tiga tahun dihina pun tetap dia buat baik sebab anggap ibu seperti ibu kandung dia. Sakit demam ibu pun isteri yang jaga,” kongsi peguam syarie di Threads.
Suami itu mengakui dia berasa tersepit antara menunaikan arahan ibu dan membela isterinya.
Peguam syariah menegaskan, dalam Islam, seorang anak tidak diwajibkan mentaati ibu sekiranya arahan tersebut membawa kepada perbuatan maksiat.
Dalam kes ini, menceraikan seorang isteri yang baik budi pekertinya dan taat kepada suami adalah termasuk dalam kategori maksiat.
“Reda ibu adalah jalan ke syurga, tetapi amanah sebagai suami dan ayah juga tuntutan yang tidak boleh dilupakan.
“Jangan kerana abaikan tanggungjawab, kemurkaan Allah pula menanti,” jelas peguam tersebut.
Bagaimanapun, jika isteri tersebut tidak baik atau terlibat dalam maksiat, maka suami wajib mentaati arahan ibu.
Peguam berkenaan juga menekankan bahawa suami harus mampu membezakan arahan yang baik dan arahan yang menyalahi hukum.
“Jadi suami harus tahu membezakan arahan yang baik atau arahan kearah kemaksiatan.
“Reda ibu adalah jalan ke syurga, tetapi amanah sebagai suami dan ayah juga tuntutan yang tidak boleh dilupakan.
“Jangan kerana abaikan tanggungjawab, kemurkaan Allah pula menanti,” kongsinya.
Baca juga: Gadis bersih nama teman lelaki lepas ditolak tersungkur, akui silap sendiri pancing emosi