Suami kepada pelakon, Allahyarhamah Nadia Kesuma, 50, iaitu Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah memaklumkan bahawa jenazah arwah isterinya akan dikebumikan hari ini selepas solat Subuh waktu Jeddah.
Perkembangan terbaharu itu disampaikan oleh Muhammad Kamarul sendiri menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada awal pagi tadi.
Muhammad Kamarul, 57, turut memberitahu bahawa jenazah juga sudah dimandikan oleh anak Nadia sendiri yang dikenali sebagai Sarah dengan bantuan rakan arwah sebelum disembahyangkan.
“Jenazah sudah disembahyangkan dan diimamkan sendiri oleh saya, Alhamdulillah. Jenazah akan dikebumikan selepas Subuh pada jam 5.44 pagi waktu Jeddah (10.44 pagi waktu Malaysia),” katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, Muhammad Kamarul dan Sarah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.35 petang semalam ke Jeddah, Arab Saudi bagi menguruskan pengebumian Nadia di negara itu.
Pemilik nama sebenar Nadiah Kasumawati Abdul Karim itu dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau didapati hilang ketika transit di Jeddah.
Allahyarham Nadia sebelum ini gagal dikesan selepas menaiki penerbangan ke London, United Kingdom (UK) dari Kuala Lumpur dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz.
Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu adalah antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah serta ziarah bersama sebuah agensi pelancongan selama dua minggu bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.
Baca juga: Suami Nadia Kesuma kongsi luahan meruntun jiwa, sifatkan isteri taat, penyayang dan setia