“Suami pijak maruah aku depan orang ramai, mengamuk suruh masak untuk ipar duai”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka, suami dipilihnya menjadi pemimpin keluarga rupanya memiliki sisi gelap yang disorokkan daripada mata orang luar.

Mana tidaknya, sikap sebenar lelaki dikenali ramai sebagai ‘orang alim’ itu langsung tidak mencerminkan ciri-ciri suami yang sepatutnya ada dalam diri penganut agama Islam.

Merasa maruahnya sebagai seorang isteri dan ibu dipijak-pijak, berikut kami kongsikan luahan seorang wanita yang mula menyesali keputusannya memilih suami atau Imam keluarganya.

“Ini bukan pertama kali aku dimarah dihadapan orang ramai termasuk keluarga. Hari ini di kedai makan, di hadapan ibu dan anak-anakku. Walau sudah sebati, air mata ini tetap jatuh. Sungguh maruah aku sebagai isteri, wanita dan ibu telah dipijak-pijak oleh lelaki yang dipilih untuk menjadi imamku.

“Aku pilih dia sebagai suami kerana latar belakang yang ada pegangan agama. Dia juga dari keluarga yang baik-baik. Tetapi itu semua hanya di luaran sahaja. Caci maki untuk aku dan anak-anak sudah biasa menjadi zikirnya. Marah sehingga habis kerusi dilempar di ruang makan rumah kerana aku lupa menutup pili air. 

“Habis dimaki hamun aku dan anak-anak. Belum lagi jika anak-anak membuat silap, pasti dijerkahnya. Jika dilihat dari luaran, suamilah lelaki yang paling baik. Walaupun hakikatnya hanya aku, anak-anak dan ibuku sahaja tahu. Punca hari ini, aku tidak bersedia menerima tetamu iaitu adik beradik dia yang lama tidak pulang ke kampung.

“Aku bukan sengaja menolak. Aku penat dan lelah, tenaga juga sudah habis. Aku sekarang bekerja tidak tentu masa, termasuk Jumaat dan Sabtu. Sementelah lagi, tugas aku sekarang mengetuai unit yang sangat sibuk. Pada setiap ruang cuti, aku mahu berehat. Tentunya ingin baring. Kebetulan ada cuti panjang.

“Jadi aku mengambil kesempatan untuk bercuti dan balik melawat kampungku. Kerana aku menetap di kampung suami. Sepatutnya bekerja, tetapi aku pujuk juga ketua jabatan untuk berikan pelepasan agar boleh membawa anak-anak cuti sekolah ke kampungku. Namun sedihnya, aku dipaksa suami untuk pulang lebih awal.

“Semua dek kerana kepulangan adik-beradik suami. Aku tidak berpuas hati. Namun terpaksalah aku menunaikan permintaan itu kerana memikirkan suami yang mahu berjumpa adik-beradiknya. Yang menjadi isu adalah, suami memaksa aku memasak, membuat majlis makan-makan untuk semua ahli keluarganya.

“Padahal, seminggu lalu baru sahaja ada adik-beradik suami yang pulang. Aku waktu itu raikan kedatangannya dengan memasak dan menjamunya sebagai tetamu. Seminggu sebelum itu pun aku sentiasa menerima tetamu. Tentunya, adik beradik suami. Aku raikan. Cuma kali ini aku menolak sambil menyebut perkara di atas.

“Namun kata-kataku disalah erti, atau sengaja tidak mahu diterjemah dengan baik. Suami mula mengungkit, mengatakan aku tidak menerima tetamu. Katanya, setakat masak makanan ringan itu apalah sangat. Allah, apa suami sudah jadi pelupa atau sengaja buat-buat lupa. Aku sediakan makan malam untuk tetamu minggu lepas.

“Bukan setakat menyediakan makanan. Aku buat dari A sehingga Z untuk raikan tetamu. Cuma kali ini sahaja aku menolak. Sebab sekiranya menerima tetamu, aku perlu mengemas rumah. Rumah agak bersepah kerana sudah beberapa minggu aku keluar gelap, balik semula ke rumah pun sudah gelap. 

“Itu belum lagi penat membuat juadah untuk tetamu. Melayan dan meraikan tetamu. Terus diherdiknya aku dihadapan ibu, anak-anak dengan suara yang tinggi. Di meja kedai makan yang dikelilingi pelanggan lain pula. Aku percaya ramai yang mendengar sehingga ibu terpaksa campur tangan meredakan amarah suami.

“Sungguh aku tahu, aku sudah silap memilih imam, aku tahu. Sangat tahu. Aku juga bukan babu,” kongsi Camar (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik olehnya di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Kawan siap ‘call’ tanya kenapa kedai tak buka 3 hari dah” – Shiha Zikir kongsi pengalaman kedai kena sihir