Satu rakaman memaparkan suasana pada hari kedua sesi persekolahan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, rakaman berkenaan bukan sahaja berjaya menghiburkan orang ramai dengan gelagat mencuit hati kanak-kanak terbabit malah turut memperlihatkan usaha para guru untuk memujuk anak murid mereka.
Berdasarkan rakaman yang berdurasi satu minit 45 saat itu, kelihatan suasana di dalam kelas begitu riuh dengan bunyi tangisan kanak-kanak dipercayai kerana belum dapat menyesuaikan diri di sekolah.
Mereka bukan sahaja menangis malah beberapa murid juga terlihat melompat-lompat sambil meraung malah ada kanak-kanak yang turut merintih kesedihan sambil berbaring di atas lantai kelas.
Para guru juga kelihatan begitu sabar dalam usaha untuk memujuk anak murid agar dapat menghentikan tangisan mereka supaya boleh mengikuti sesi persekolahan dengan lancar.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman yang dibuat di sebuah pusat PASTI terletak di Kampung Pinang Merah, Paka, Terengganu itu telah berjaya meraih sebanyak 387,700 tontonan daripada pengguna TikTok.
Rata-rata pengguna mengakui terhibur dengan gelagat kanak-kanak berkenaan malah mengakui bahawa situasi rius tersebut tidak ubah seperti kejadian histeria beramai-ramai.
Ramai pengguna TikTok juga kagum melihat semangat serta kegigihan guru-guru dalam memujuk dan mendidik anak murid serta tidak lupa untuk mendoakan mereka agar diberikan balasan terbaik di Syurga kelak.
Baca juga: Dakwa ramai ‘cancel booking’ di Rembayung sebab Khairul Aming tak ada, tuan badan dedah data