Sultan Selangor dukacita ada pihak tidak patuh titah isu ternakan babi

Oleh ROSLAN ZAMAN

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meluahkan rasa dukacita baginda apabila masih terdapat pihak yang merungut dan tidak berpuas hati keputusan baginda berkenaan isu mematuhi titah penternakan babi di negeri ini.

“Baru-baru ini, beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. Namun demikian masih terdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah beta,” titahnya sempena Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Baginda bertitah, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan tanah selain kedudukan ladang ternakan yang berada di kawasan penempatan penduduk padat dengan umat Islam.

Sebelum ini, baginda menegaskan, isu pencemaran sungai dan udara turut menjadi faktor penternakan babi tidak sesuai diteruskan di negeri ini.

Sultan Selangor selepas itu menyarankan agar isu ini diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar terutamanya dari negeri Sarawak untuk bekalan kaum bukan Islam yang memerlukannya.