Seiring dengan meningkatnya usia, pastinya pelbagai penyakit datang jika tidak dijaga pemakanan dan kesihatan.
Kadangkala mereka yang menjaga kesihatan juga boleh terkena penyakit jika tidak seimbangkan rehat secukupnya.
Buat pelakon dan pelawak, Ebby Yus yang diketahui mempunyai masalah jantung dan buah pinggang mengakui dirinya stabil buat masa kini.
Namun disebabkan keadaan kesihatan diri yang tak mengizinkan, pelawak berusia 59 tahun itu tidak lagi bekerja dan hanya rehat di rumah lapor Harian Metro.
“Saya tak dapat buat program TV itu kerana ada aktiviti lasak. Dalam keadaan kesihatan sekarang, saya memang dah tak boleh nak buat aktiviti lasak.
“Sebabnya, nak berdiri lama pun saya tak boleh, termasuk nak berjalan naik tangga dah tak larat. Jadi, biarlah saya berehat saja di rumah ketika ini.
“Alhamdulillah, kesihatan saya berada dalam keadaan stabil. Walaupun saya nak bekerja, tapi kalau tawaran tidak sesuai kenalah tolak,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Masih menghadiri temujanji di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan buah pinggangnya, Ebby berharap bahawa dia tidak perlu melakukan dialisis.
“Harapan saya, semoga masalah buah pinggang dihidapi berada dalam keadaan baik dan tidak memerlukan rawatan dialisis sebagaimana pernah disarankan doktor kepada saya sebelum ini.
“Lagipun, kalau diikutkan saya memang masih belum bersedia untuk buat rawatan dialisis itu. Tapi, iyalah semuanya bergantung pada laporan pemeriksaan dengan doktor pakar pada September depan.
“Jadi, kalau doktor kata dah tak boleh dielakkan lagi (rawatan dialisis), saya akan buat jugalah.
“Namun, moga-moga ia tidak berlaku dan keadaan buah pinggang saya masih stabil” tambahnya.
Baca juga: Pernah ditawar RM60k jadi ‘peneman’ VVIP, Sharifah Rose tolak sehabis baik, anggap ia mengarut