“Syarikat mana yang ‘handle’ TikTok?” – Netizen berang lolipop dadah dijual secara terbuka

Oleh WAN SITI AMINAH

Gempar di media sosial tempatan hari ini ekoran pendedahan mengenai penjualan gula-gula berbentuk ‘lolipop’ dipercayai mengandungi dadah yang didakwa dibuat secara terbuka di platform TikTok.

Menerusi satu hantaran di laman X, seorang individu tampil mempersoalkan kredibiliti pihak pengendali TikTok yang dilihat gagal menapis kandungan sedemikian menerusi platform tersebut.

Individu terbabit turut menyeru pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengawal pengiklanan produk sedemikian serentak dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Selamba sahaja jual dadah dekat Tiktok. Sebenarnya, siapa yang mengendalikan Tiktok Malaysia ya? Di bawah syarikat mana? Pengendali TikTok semuanya muda-muda. Tetapi tak reti periksa komen ke?

“Kalau tersilap cakap, cepat sahaja mereka padam video. Tetapi perkara macam ini terlepas pula? Sudah alang-alang isu dadah, elok sekali jalanlah KKM terus rancang sekat pengiklanan untuk rokok elektronik, lagi-lagi di TikTok.

“Bayar pempengaruh promosikan itu, ini. Tak kisah budak bawah umur terjebak atau tidak, janji dapat ‘engagement’ kan? Saya orang vape (rokok elektronik), tetapi kali ini terpaksa sokong Akta baru dari KKM,” katanya.

Susulan penularan perkongsian itu, rata-rata pengguna platform X mengajak orang ramai untuk membanteras kegiatan penjualan barangan terlarang tersebut dengan membuat laporan ke atas akaun TikTok berkenaan.

Hal ini berikutan mereka merasa bimbang sekiranya remaja atau kanak-kanak yang mudah terpengaruh akan membelinya ekoran rupanya seperti gula-gula biasa malah warnanya juga sangat menarik perhatian.

Tinjauan kami mendapati, pengguna TikTok yang menjual lolipop itu sudah menukarkan nama dan tetapan kepada privasi namun masih belum memadam akaun miliknya mungkin kerana sudah meraih ramai pengikut.

Memandangkan gula-gula lolipop itu dijual oleh pengguna TikTok, individu berkenaan turut membuat pendedahan sama menerusi satu hantaran video di platform tersebut sebagai bentuk kesedaran.

@cazzrah

masalah paling besar,yang bawah umur pun tau pasal gula2 ni 🥲🥲

♬ original sound – daddy rah – daddy rah

Dalam hantaran itu, lelaki berkenaan mendakwa bahawa para ibu bapa di Thailand sudah diberikan amaran oleh pihak berkuasa di sana mengenai bahayanya gula-gula tersebut.

“Masalah paling besar, budak bawah umur pun tahu tentang gula-gula ini. Benda ini dadah tau. Gula-gula ‘lolipop’. Ibu bapa dekat Thailand sudah kena amaran tentang dadah rekreasi dalam bentuk ‘lolipop’ ini.

“Selepas itu ada pula orang jual dekat TikTok. Kau jual dadah kan, nanti berurusanlah dengan polis atau AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan). Cuma TikTok ini aku tak faham. Kalau buat video tentang kesedaran dadah, nanti kena ‘remove’ (keluarkan).

“Pengendali TikTok, tolonglah. Tak tahulah manusia ataupun AI (kecerdasan buatan). Hantaran macam itu lepas. Tetapi yang berikan kesedaran, kamu orang keluarkan. Apa benda? Gula-gula macam itu pun boleh lepas, memang jahanam.” Tegasnya.

Baca juga: Malam-malam buat kerja ubah ‘signboard’, GISBH cuba tukar nama hotel?