Syed Saddiq sambut hari jadi Bella Astillah, bawa anak-anak sekali makan di restoran

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali membuatkan hati peminat berbunga-bunga selepas memuat naik gambar bersama penyanyi iaitu Bella Astillah dan anak-anaknya.

Difahamkan, gambar tersebut diambil ketika mereka berkunjung ke sebuah restoran untuk meraikan ulang tahun kelahiran pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah yang ke-32, jatuh pada 15 Mac.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Syed Saddiq memberikan ucapan hari lahir yang cukup manis dengan menyifatkan Bella sebagai Iron Lady kerana kekal tabah menghadapi ujian hidup.

Berdasarkan gambar dikongsikan Syed Saddiq, Bella bukan sahaja diraikan di restoran mewah namun turut menerima sejambak bunga mawar berwarna merah dipercayai dihadiahkan oleh ahli politik berkenaan.

Syed Saddiq turut berkongsi rakaman memaparkan keakraban hubungannya bersama anak-anak Bella iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang mana ahli politik terbabit terlihat tidak kekok melayani mereka.

“Lembut apabila perlu. Kental apabila diuji. Itulah Bella yang saya kenali. Selamat Hari Lahir, Ironlady. Ara ini memang betul puteri daripada segala puteri,” seloroh Syed Saddiq dalam hantaran tersebut.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa cair dengan ucapan Syed Saddiq selain turut menyifatkannya sebagai ‘hint’ atau perkara tersirat tentang keseriusan hubungan mereka.

Ramai juga pengguna Threads tidak sabar menantikan khabar gembira daripada kedua-dua personaliti popular terbabit dan mengirimkan doa agar hubungan mereka berlanjutan sehingga ke jinjang pelamin.

Baca juga: Berita baik menjelang raya! PMX umum cuti tambahan, harga barang dikawal hingga 28 Mac