“Tahniah kena prank?” – Wanita terima RM1.50 dengan nota sinis, netizen naik angin

Oleh MAISARAH AISYA

Dalam dunia hari ini, nampaknya masih ada segelintir yang tidak tahu membezakan antara gurauan dan sensitiviti, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara berkaitan kematian.

Seorang wanita berkongsi detik menyentuh perasaan apabila diminta ibunya mengira sedekah yang diterima selepas pemergian bapanya, namun satu sampul yang dibuka membawa kejutan yang tidak disangka.

Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna mairaaaraima, dia memuat naik gambar sampul dengan nota berserta wang tunai berjumalah RM1.50.

“Tahniah dah kena prank hahaha… Harap cukup RM1.50 ni untuk buat tahlil bapa mu,” tulis nota di bahagian dalam sampul duit.

Wanita tersebut tidak memahami apa kesalahannya hingga menerima nota sedemikian namun tetap cuba bersikap positif.

“Ibu suruh kira berapa orang sedekah tadi sebab nak buat tahlil sikit pastu…Allah sampai hati awak kan? Tak apalah awak, mungkin niat awak betul nak bagi, kan.

“Terima kasih… semoga suatu hari nanti awak tak kena macam mana awak buat dekat saya,” katanya dalam hantaran di Threads.

Tambahnya lagi, dia tidak mengetahui identiti individu tersebut, namun percaya setiap kejadian pasti ada hikmah.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab dan tidak sensitif.

“Terukknya perangai, tak mampu nak derma banyak pun tak perlu sampai nak buat macam ini. Ini bukan manusia namanya, tak tahu adab,” komen Hidayati.

“Bagi RM1 tuan rumah tak kisah pun tapi bila ada nota tu rasa terguris hati ni,” komen Hafiza.

“Orang tu kematian bapa, dia bergurau dan ucap tahniah pula. Sangat tak beradab,” komen Utin.

Baca juga: Rembayung bertukar ‘dewan kahwin’, Syed Saddiq dan Bella hangatkan suasana