Tak bagi suami keluar rumah jadi punca wanita halang kereta di lampu isyarat

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita sanggup mengancam nyawanya sendiri untuk menghalang sebuah kenderaan yang sedang bergerak baru-baru ini.

Difahamkan, kejadian yang tular di media sosial tersebut berlaku di hadapan lampu isyarat di Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pasangan yang berasal dari Indonesia itu hadir membuat laporan polis, semalam.

Wanita berusia 32 tahun itu merupakan suri rumah manakala suaminya yang berusia 58 tahun bekerja sebagai buruh bangunan.

Berlaku salah faham, wanita berusia 32 tahun itu mulanya bertengkar dengan suaminya yang berdegil mahu keluar dari rumah.

Tetap keluar walaupun dihalang, wanita itu kemudian membonceng motosikal jiran sebelum turun menghalang Proton Wira milik suaminya.

“Sebelum kejadian, mereka bertengkar kerana suaminya hendak keluar rumah untuk pergi ke rumah anak mereka di Telok Kemang.

“Tetapi dihalang isteri kerana bimbang kesihatannya yang baharu mendapat rawatan di Hospital Port Dickson setelah enam hari umat Islam berpuasa,” kata Mustafah.

Setelah mengetahui kejadian itu tular, pasangan berkenaan hadir ke balai polis untuk memberi penjelasan dan mengakui kesilapan mereka.

“Pasangan itu juga memohon maaf atas perbuatan yang diakui membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.” Ulasnya.

Baca juga: Nak hilangkan bau hamis di badan dan elakkan sembelit guna dua bahan ini