Tak sia-sia pesara guru simpan surat khabar lama, cetakan ini kini bernilai RM5,000!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, surat khabar lama yang dianggap seperti bahan terbuang rupa-rupanya boleh membantu menjana pendapatan lumayan kepada pemiliknya.

Itulah kenyataan yang dialami oleh pengumpul barang antik, Jamal Ahmad apabila ditawarkan wang berjumlah RM5,000 daripada pembeli surat khabar lama.

Mempunyai nilai sejarah, surat khabar disimpan Jamal itu sebenarnya merangkumi berita pengisytiharan kemerdekaan negara yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957.

Merupakan tarikh keramat buat Malaysia, surat khabar lama tersebut adalah peninggalan sejarah yang paling berharga buat Jamal yang juga persara guru itu.

Perkara itu terbukti apabila ada individu yang berasal dari Perak pernah meluahkan hasrat untuk membeli akhbar tersebut dengan harga lumayan iaitu RM5,000.

Menolak tawaran tersebut, Jamal mengaku bahawa akhbar itu seakan mesin masa yang membawa pembaca kembali ke saat negara meraih kemerdekaan.

Sukar untuk ditemui, lelaki berusia 58 tahun itu turut memiliki lebih 120 peninggalan sejarah lain yang berkaitan dengan kemerdekaan negara, lapor Mstar.

“Surat khabar lama ini adalah (peninggalan) sangat berharga, susah nak jumpa dah sekarang. Kalau ada pun di muzium atau Arkib Negara,” katanya memetik Mstar.

Jamal juga memiliki dokumen pengisytiharan kemerdekaan yang ditulis dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Tamil, Jawi dan Bahasa Malaysia roman.

Dokumen tersebut asalnya diedar kepada setiap ketua kampung dan pemimpin komuniti sejurus Malaya memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British.

Mula mengumpul barang peninggalan sejarah sejak usianya 18 tahun, Jamal menemukan dokumen dan surat khabar lama itu pada kira-kira 30 tahun lalu.

“Pada awal tahun 1990-an, kawan saya yang juga peminat barangan sejarah menghubungi saya, dia beritahu ada sesuatu yang pasti menarik perhatian saya.

“Saya pun pergi menjumpainya di Kuala Lumpur. Dia menunjukkan surat khabar lama dalam bahasa Inggeris yang melaporkan negara kita sudah mencapai kemerdekaan.

“Dia menjual kepada saya surat khabar itu dengan harga RM2,000.” Cerita Jamal yang kini menetap Serkat, Pontian, Johor.

Selain surat khabar lama dan dokumen, Jamal juga menyimpan lebih daripada 120 barangan peninggalan sejarah kemerdekaan negara seperti cawan dan pinggan.

Baca juga: Malaysia rekod dua kes cacar monyet, orang ramai perlu ke klinik jika ada gejala ini