Takut kantoi kahwin dua, lelaki tempatan naik bot dengan PATI jenguk bini muda di Medan

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, seorang lelaki warga tempatan berasal dari Perak sanggup menggunakan jalur belakang secara haram semata-mata untuk melawat isteri keduanya yang berada di Medan, Indonesia.

Tindakan menyalahi undang-undang itu dilakukan untuk mengelak rahsianya yang dikatakan sudah menikah buat kali kedua terbongkar selain mendakwa isteri pertamanya turut memegang pasport miliknya.

Namun helahnya terbongkar apabila menjadi antara dua lelaki tempatan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor bersama 28 pendatang asing tanpa izin (PATI), lapor Berita Harian.

Dalam operasi khas dijalankan pada awal pagi semalam itu, lelaki berkenaan didapati menggunakan jalan salah untuk pulang ke Malaysia dengan menaiki bot fiber yang melakukan aktiviti penyeludupan masuk PATI.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, lelaki itu mengakui pulang ke Medan minggu lalu untuk berjumpa isteri keduanya yang hamil lima bulan ketika disoal siasat.

Lelaki berusia 46 tahun itu memaklumkan bahawa isteri pertamanya yang tinggal di Perak tidak tahu menahu tentang perkahwinan keduanya dan tujuan laluan salah digunakan adalah untuk mengelak rahsianya terbongkar.

“Penahanan bot berkenaan hasil maklumat risikan aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam. Pasukan menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang cuba menyeludup masuk jam 12.30 tengah malam.

“(Bot berada) pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nahkoda Omar. Hasil pemeriksaan, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Myanmar berusia 36 tahun. Seramai 26 PATI warga Indonesia berada di atas bot terbabit terdiri dari 17 lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan sembilan wanita berusia antara lima hingga 53 tahun.

“Dua lelaki warga tempatan berusia 46 dan 49 tahun turut berada di atas bot berkenaan dan dipercayai pulang ke negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya memetik laporan Berita Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Selangor, Pelabuhan Utara hari ini.

Pihaknya juga berjaya melakukan tangkapan kedua kira-kira pada jam 2 pagi semalam membabitkan sebuah bot pom pom di kedudukan sekitar dua batu nautika barat daya kawasan sama yang dikendalikan tekong bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia 22 hingga 32 tahun.

Mereka dipercayai cuba keluar dari perairan negara ini dan pemeriksaan lanjut menemukan seramai 24 PATI yang terdiri dari 19 lelaki dan lima wanita berusia 22 hingga 64 tahun serta seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.

Siasatan mendapati mereka semua dikenakan bayaran di RM1,500 sehingga RM2,500 seorang bergantung kepada lokasi penghantaran , jarak jauh atau dekat dan sebagainya.

“Bayi perempuan ini dibawa oleh ayahnya. Semua PATI yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui jalan tidak diwartakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana cubaan membawa masuk PATI.

“Semua individu bersama bot yang ditahan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.” Ujarnya lagi berhubung penahanan mereka yang menggunakan jalur belakang untuk masuk dan keluar dari Malaysia.

Baca juga: Doktor rugi RM285,000 terpedaya ‘phone scam’