Bukan senang menjadi selebriti, apatah lagi setiap tindak-tanduk diperhatikan selepas menjadi satu figura dalam dunia seni.
Setiap yang dilakukan pula akan diikuti oleh peminat dan membuatkan ramai selebriti lebih berhati-hati.
Buat penyanyi Alif Satar dia sedar akan tanggungjawab sebagai individu berpengaruh yang perlu melakukan aktiviti positif dan membawa kebaikan kepada masyarakat lapor Harian Metro.
“Saya juga selalu mendapatkan nasihat daripada agamawan yang arif terhadap sesuatu hukum, termasuk ketika saya perlu hadir ke kelab atas urusan kerja. Saya sendiri akan jadi tidak selesa apabila berada di situ (kelab).
“Bukanlah nak kata yang diri saya ini baik sangat, tapi perasaan kurang selesa itu hadir dengan sendirinya dan memerlukan saya mendapat penjelasan segera daripada mereka yang pakar (agamawan),” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tak segan lepak mamak
Bagi Alif, dia tidak memilih dengan siapa dia berkawan dan tidak kisah dimana sekalipun kerana baginya yang penting adalah menjaga kelakuan.
Menurut Alif, dia tidak pernah segan untuk makan di restoran mamak dan tidak kisah melepak dengan sesiapa saja, namun yang penting kena menjaga tingkah laku.
“Saya hanya tahu diri adalah ‘public figure’ dan apa yang saya buat orang akan tengok, percaya dan dengar. Jadi, tanggungjawab ini sangat berat dan saya kena pastikan ia digalas dengan sebaik mungkin.
“Apatah lagi, ada juga segelintir orang yang turut jadikan saya sebagai rujukan mereka dan untuk itu, saya perlu sentiasa beringat agar tidak tersilap langkah. Saya tidak tahu apa nak jawab di hadapan Allah nanti,” katanya.
Kongsi ilham #GengSubuhMacamJumaat
Tambahnya inspirasi kempen #GengSubuhMacamJumaat datang secara tiba-tiba dan niatnya hanya untuk mengajak masyarakat setempat untuk solat jemaah di masjid.
“Pada mulanya, saya sekadar buat hantaran mengajak masyarakat setempat datang solat Subuh bersama-sama di masjid yang saya kunjungi.
“Tapi, tak sangka pula ramai yang datang sehingga ribuan orang. Jadi, saya melihat sambutan sangat positif di situ.
“Insya-Allah, saya bertekad terus menyemarakkan kempen sehingga ke akhir hayat saya. Ia satu kempen yang baik, jadi kita kena teruskan agar pahalanya tidak berhenti mengalir dan Allah merahmati,” ujarnya.
Baca juga: Baru tahu ‘penyondol’ boleh dituntut bayar ganti rugi, baca penjelasan peguam ini