Tambahan RM5 billion untuk bantu peniaga – Anwar

Oleh ROSLAN ZAMAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan kemudahan RM5 bilion di bawah skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan impak krisis Asia Barat.

Beliau berkata, kemudahan itu melengkapi tambahan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP yang diumumkan semalam khusus untuk menyokong PMKS terjejas.

“Saya telah minta BNM untuk segera tingkatkan kemudahan ini supaya daripada RM5 bilion yang diberikan khas ditambah dengan kemudahan yang diberikan BNM (sendiri).

“Secara terperincinya Gabenor BNM akan umumkan dalam beberapa hari lagi mengenai (tambahan) RM5 bilion ini untuk membantu memacu pertumbuhan (negara) dan menjadi pemangkin syarikat-syarikat yang memerlukan bantuan,” katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan di Sasana Kijang, BNM.