“Tangan dia merayap ke arah saya” – Aedy Ashraf dedah insiden pahit, pelaku dianggap abang

Oleh MALAYSIADATELINE

Sejak akhir-akhir ini, semakin ramai pelakon lelaki berani bersuara untuk mendedahkan insiden gangguan seksual yang dialami terutama ketika mereka masih kanak-kanak untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu tersebut.

Hal ini berikutan mereka tidak mahu kanak-kanak lelaki lain menjadi mangsa selain turut berharap pendedahan sedemikian boleh membuatkan ibu bapa atau penjaga lebih bersikap peka demi melindungi anak-anak mereka.

Terbaharu, pelakon popular Aedy Ashraf pula yang tampil mendedahkan pengalaman peribadinya apabila terpaksa berhadapan dengan insiden gangguan seksual didakwa dialaminya ketika berusia 10 tahun.

Menurut pemilik nama sebenar Addy Ashraf Rosmadi itu, kejadian berlaku di dalam kereta selepas penggambaran sebuah drama melibatkan seorang pelaku yang sudah dianggapnya seperti sebagai abang sendiri.

“Lelaki itu dipertanggungjawabkan untuk menghantar dan mengambil saya dari lokasi ke rumah. Ketika itu, dia sepatutnya menghantar saya pulang. Tetapi dia kata nak tidur dalam kereta sebab mengantuk. Saya anggap dia macam abang sendiri.

“Jadi saya tak keberatan biar dia tidur. Tiba-tiba tangan dia merayap. Saya masih kecil, tak tahu perlu buat apa masa itu. Keliru tentang apa yang berlaku. Apakah yang saya patut lakukan? Lari, menjerit atau biarkan sahaja? Saya baru 10 tahun.

“Saya kemudian buat-buat bangun. Panik, tetapi takut dan pada masa yang sama keliru. Kemudian dia pancing saya nak belikan beg baharu dekat pusat membeli-belah. Dalam fikiran saya masa itu adalah nak keluar daripada kereta ini,” kongsinya.

Aedy kemudian bersetuju untuk dibawa ke pusat beli-belah berkenaan dan segera bertindak menghubungi bapa saudaranya yang bekerja di lokasi berdekatan untuk menyelamatkannya dengan membawanya pulang.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Aedy menerusi satu program audio siar atau ‘podcast’ diterbitkan di platform Youtube iaitu Kita-Kita Aje! yang dikendalikan pengacara terkenal iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi.

“Pak cik saya terus ambil dan hantar balik ke rumah. Saya ceritakan semuanya dekat ibu. Ibu saya memang sangat marah dan minta pelaku berjumpa dengannya. Apa yang saya nak beritahu dekat sini adalah memang diri tengah keliru. Tetapi saya terus minta bantuan iaitu dari pak cik.

“Insiden ini sememangnya memberi kesan kepada saya. Tetapi sampai bila nak biarkan trauma itu menghentikan saya daripada buat apa-apa. Jadi perkara terbaik yang saya boleh lakukan adalah memaafkan dia. Saya jumpa sahaja dia sampai sekarang.

“Tetapi apa yang boleh saya lakukan. Rasanya perkara terbaik yang saya lakukan ketika itu adalah meminta pertolongan. Terus beritahu pak cik dan ibu saya tentang kejadian itu. Malangnya terdapat kanak-kanak di luar sana alami perkara sama dan mereka memilih untuk berdiam”. Kesalnya.

Sehubungan dengan itu, Aedy menyampaikan pesanan untuk segera bertindak keluar dari mana-mana situasi yang menimbulkan rasa tidak selesa selain berani tampil bersuara jika menjadi mangsa gangguan seksual.

Baca juga: Beli nasi ayam madu di bazar, individu terkejut lihat ulat atas salad