Tangisan anak sulung Ina Naim curi perhatian netizen, harap bapa baharu beri kasih sayang sepenuhnya

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi yang juga balu Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ina Naim selamat bergelar isteri buat kali kedua semalam selepas melangsungkan perkahwinan dengan jurutera dikenali sebagai Mohd Khairul Rizal Shukor.

Majlis akad nikah pasangan itu dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor secara sederhana dengan dihadiri keluarga dan saudara terdekat kedua-dua belah mempelai.

Tular di media sosial, sesi siaran langsung yang diadakan oleh pengguna aplikasi TikTok dipercayai tetamu di dalam majlis pernikahan tersebut juga sempat dirakam sebelum dimuat naik semula di platform sama.

Antara rakaman yang paling mencuri perhatian orang ramai ialah sepotong video memaparkan anak sulung kepada Ina Naim yang menangis teresak-esak selepas ibunya selamat diijabkabulkan.

Dalam rakaman tersebut, remaja berusia 16 tahun dikenali sebagai Ehmad Hadie Elfardie itu telihat mengesat air mata dengan menggunakan lengan baju melayu miliknya berulang-kali.

@lindangimin

INA NAIM SELAMAT DIIJAB KABUL…MOGA BAHAGIA DUNIA AKHIRAT #ina #inanaim #fyp

♬ IBU AKU RINDU – JASMINE

Tangisannya turut diiringi air mata Ina yang sama-sama mengalir ketika sedang duduk di atas pelamin sewaktu juru nikah membacakan doa sehingga mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Dibanjiri doa, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa simpati melihat keadaan anak sulung Ina dan berharap agar keluarga baharu yang dibina dilimpahi dengan kebahagiaan.

Ramai juga pengguna berharap supaya suami baharu Ina dapat memberikan kasih sayang tanpa berbelah bahagi kepada anak-anak penyanyi berkenaan hasil perkongsian hidupnya bersama arwah Suhaimi.

Allahuakbar. Sayunya hati ini. Sedih tengok anak sulung menangis. Ya Allah, berikanlah kebahagiaan kepada keluarga baharu ini,” kata seorang pengguna tulus mendoakan perkahwinan Ina.

”Sebaknya tengok anak Ina ini. Kasihan anak dia, mungkin rindukan arwah ayah hingga tak dapat dilahirkan dengan kata-kata. Semoga ayah baharu dapat memberikan kasih sayang yang sepenuhnya.” Kongsi pengguna lain.

Terdahulu, Ina sah bergelar isteri kepada Mohd Khairul, 41, dengan hanya sekali lafaz kira-kira pada pukul 9.50 pagi Jumaat selepas dinikahkan Naib Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohamad Ramadhan Mahroji yang mewakil wali bapa Ina, Mohd Naim Samijan.

Dalam majlis tersebut, pemilik nama sebenar Nordiana Md Naim, 40, menerima mas kahwin sebanyak RM100, kelengkapan solat, seutas gelang tangan dan sebentuk cincin, selain wang hantaran sebanyak RM7,000.

Pada 12 Ogos 2007, Ina mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Suhaimi atau Mohd Suhaimi Saad, 44, namun penyanyi nasyid itu meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, Ina dan Suhaimi dikurniakan empat anak iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 16, Sallman Elkhoyri, 14, Phyrosh Elfadwah, 12, dan Nur Layla Elghufrony yang kini berusia 10 tahun.

Suami baharu Ina yang berasal daripada Gemas, Negeri Sembilan itu juga merupakan seorang duda dan memiliki seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan lelaki berusia 10 tahun.

Baca juga: Wanita raih RM100k sebulan rezeki jual pokok bunga hiasan