Baru-baru ini tular beberapa siri rakaman video menyayat hati memaparkan kejadian penderaan didakwa dilakukan pengasuh terhadap kanak-kanak di sebuah taska swasta yang dikatakan terletak di Shah Alam.
Rakaman itu dimuat naik oleh penyanyi rap dan aktivis sosial, Caprice di platform Instagram yang mana seorang kanak-kanak autisme dilihat dikurung bersendirian di bilik stor dalam keadaan berbogel menerusi salah satu video.
Hantaran seterusnya pula memperlihatkan seorang bayi malang dipaksa meminum susu oleh pengasuh sambil badan anak kecil itu dikepit menggunakan kaki selain mukanya turut dilap kasar dengan kain lampin.
Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu beberapa pihak di ruangan kapsyen agar tindakan segera dapat diambil termasuk Polis Diraja Malaysia termasuk Pengerusi Majlis Amanah Raya (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Difahamkan, nama pengarah Mara diseru kerana agensi tersebut dikatakan membiayai premis taska yang menjadi lokasi kejadian dera itu sebelum dinafikan oleh Asyraf Wajdi sendiri di ruangan komen Instagram Caprice.
Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa syarikat pengurusan pusat taska tersebut sememangnya mendapat bantuan pembiayaan dari pihak Mara namun tidak melibatkan premis di mana kejadian dera tersebut didakwa berlaku.
“Terima kasih Caprice, maklumkan kepada saya. Sebentar tadi Timbalan Ketua Pengarah Mara sudah beri laporan kepada saya mengenai kes ini. Syarikat pusat taksa itu mendapat pembiayaan Mara untuk program pendidikan awal kanak-kanak.
“Namun buat masa sekarang, ada dua premis yang Mara bantu biayai iaitu cawangan di Klang dan Bestari Jaya. Kejadian yang dikatakan berlaku di Kota Kemuning bukan melibatkan operator di bawah pembiayaan Mara,” katanya di ruangan komen.
Asyraf Wajdi bagaimanapun turut menegaskan bahawa siasatan tetap akan dijalankan secara terperinci kerana tidak mahu Mara terus membiayai atau berkolaborasi dengan institusi yang mempunyai rekod buruk.
Orang ramai khususnya ibu bapa yang menghantar anak mereka di pusat taska berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan sekiranya mereka memiliki maklumat berkaitan kes penderaan di pusat jagaan tersebut.
“Saya tidak mahu Mara membiayai dan berkolaborasi dengan institusi yang mempunyai rekod tidak menjaga
kualiti pendidikan apatah lagi terkait dengan soal yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.
“Semua komen di ruangan hantaran ini saya turut minta pengurusan Mara perhalusi dan ambil tindakan sewajarnya dengan segera.” Ujar Asyraf Wajdi menyatakan keseriusannya berhubung dakwaan penderaan itu.
Baca juga: Isu murid enam tahun ke Tahun Satu, KPM beri jaminan guru cukup