Terima upah RM200 promosi gerai air balang, lelaki pakai kostum duyung sudah ditahan

Oleh MALAYSIADATELINE

Lelaki yang sebelum ini tular kerana mengenakan kostum duyung dan berjoget di hadapan sebuah gerai air balang di Pengkalan Chepa, Kelantan pada Ahad lalu rupanya telah ditahan di rumahnya di Chetok, Pasir Mas pada Isnin.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan menerima bayaran sebanyak RM200 bagi menghasilkan kandungan tersebut.

Difahamkan, kandungan berbentuk video itu dihasilkan dan dimuat naik di platform sosial media dengan tujuan untuk menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman berkenaan, lapor Sinar Harian.

Pelaku ditahan di atas kesalahan di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak perempuan dan Seksyen 21 iaitu perbuatan tidak sopan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dan keterangannya juga sudah direkodkan.

“Tarian dan aksi itu dikatakan dirakam sehari sebelum Ramadan dan videonya disiarkan pada hari pertama puasa. Pihak JAHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Satu kertas siasatan telah dibuka serta tindakan lanjut telah diambil mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019,” katanya kepada media memetik laporan Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai penahanan pelaku.

Namun selepas proses dokumentasi dan siasatan awal selesai, suspek telah dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun ini untuk tujuan prosiding seterusnya.

Mohamed Fadzli juga memberi peringatan bahawa pihak kerajaan negeri akan menangani sebarang perbuatan yang bertentangan dengan nilai syariah serta norma masyarakat dengan tegas, berhemah dan mengikut lunas undang-undang.

Dalam pada itu, pihaknya memberitahu bahawa peniaga air balang berkenaan sudah diberikan notis namun tidak dikenakan sebarang tindakan kompaun kerana perniagaannya berlesen.

“Pada Ahad selepas menerima laporan, kami terus k3 lokasi khemah dan memberi notis supaya video tersebut dipadamkan dan ia telah dipadamkan. Kami tidak mengenakan kompaun kerana peniaga itu berlesen.

“Namun kami dimaklumkan peniaga itu hanya membuka jualan pada hari pertama Ramadan dan sehingga hari ini tidak berniaga serta dimaklumkan khemah terbabit kosong.” Ujarnya lagi.

Terdahulu, tular rakaman memaparkan seorang lelaki berkostum duyung menari di hadapan sebuah gerai air balang dipercayai terletak di kawasan Pengkalan Chepa sekali gus membangkitkan kemarahan orang ramai.

Aksi tersebut disifatkan sebagai berlebihan dan kurang sensitif terhadap suasana bulan Ramadan yang mulia ini selain turut dianggap tidak menghormati norma masyarakat setempat.

Baca juga: Pekerja ralat, ketua jabatan nak buat majlis buka puasa tapi minta setiap orang bayar RM100